Mati dalam tahanan: Tindakan tegas tanpa kompromi, kata KDN

Mati dalam tahanan: Tindakan tegas tanpa kompromi, kata KDN

KDN memaklumkan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak didapati cuai semasa penugasan atau melakukan sebarang kesalahan yang mengakibatkan kejadian seumpamanya.

Semalam, sekumpulan wakil rakyat PH mendakwa KDN enggan menerima memorandum daripada mereka supaya sebuah pasukan petugas khas bebas ditubuhkan untuk menyiasat kematian A Ganapathy dan S Sivabalan.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menerima memorandum daripada wakil rakyat Pakatan Harapan, supaya menyiasat kes kematian semasa dalam tahanan yang dihantar semalam.

Dalam kenyataan, KDN memaklumkan sudah mengarahkan polis dan pihak berkuasa yang berkenaan untuk memulakan siasatan secara menyeluruh mengikut prosedur serta tatacara seperti ditetapkan oleh perundangan negara sebaik kes berkenaan dilaporkan.

“KDN melalui polis juga bersedia untuk terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) mengenai penahanan suspek dalam lokap dari semasa ke semasa bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

“KDN menegaskan bahawa segala siasatan berhubung kes-kes tersebut dilaksanakan dengan menyeluruh, adil dan telus berlandaskan lunas perundangan sedia ada,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati cuai semasa penugasan ataupun melakukan sebarang kesalahan yang mengakibatkan kejadian seumpamanya.

Semalam, sekumpulan wakil rakyat PH mendakwa KDN enggan menerima memorandum dari mereka supaya sebuah pasukan petugas khas bebas ditubuhkan untuk menyiasat kematian A Ganapathy dan S Sivabalan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago (DAP), Ahli Parlimen Selayang William Leong (PKR), ADUN Sentosa Gunaraj George (PKR), ADUN Rawang Chua Wei Kiat (PKR) dan ADUN Taman Templer Sany Hamzan (Amanah) menunggu lebih sejam di luar pintu pagar pejabat KDN selepas dihalang memasuki perkarangan.

Mereka akhirnya meninggalkan salinan memorandum di pintu pagar kementerian sebelum beredar.

Kematian Ganapathy, seorang peniaga susu lembu, pada 18 April, dan Sivabalan, seorang pengawal keselamatan, pada 20 Mei – mencetuskan dakwaan penderaan oleh polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.