
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, kerajaan persekutuan telah membuat beberapa kenyataan mengenai kawalan pergerakan, manakala kerajaan negeri turut meletakkan peraturan bagi perkara itu di Sarawak.
“Ini bukan kali pertama kerajaan negeri dan persekutuan memberikan dasar serta SOP bercanggah, walaupun berada dalam gabungan kerajaan yang sama,” katanya dalam kenyataan.
“Lebih mengelirukan lagi, susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bahawa Sarawak akan menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 29 Mei hingga 11 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan ‘lockdown’ kebangsaan penuh dari 1 hingga 14 Jun
“Adakah ‘lockdown’ bagi Sarawak sehingga 11 Jun atau 14 Jun?” soalnya.
Katanya, kerajaan negeri tidak patut ‘bermain-main’ dengan autonomi politiknya, yang sepatutnya digunakan untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat, bukan mewujudkan lebih banyak kekeliruan ketika keadaan darurat.
Kerajaan Sarawak baru-baru ini berkata tidak akan mengikut ‘lockdown’ kerajaan dari 1 hingga 14 Jun, sebaliknya meneruskan protokol kawalan pergerakan sendiri.