Banduan Nepal mati gantung diri dalam penjara, kata polis

Banduan Nepal mati gantung diri dalam penjara, kata polis

Siasatan mendapati banduan itu dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit kes sekitar 2016 atau 2017 yang membawa hukuman mati.

Polis mengesahkan banduan warga nepal yang didakwa mati dalam Penjara Kluang adalah disebabkan bunuh diri.
JOHOR BAHRU:
Polis mengesahkan banduan warga nepal yang didakwa mati dalam Penjara Kluang adalah disebabkan bunuh diri dan tidak membabitkan sebarang unsur jenayah, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Md Yusof Ahmad.

Bercakap kepada FMT, beliau mengesahkan menerima laporan daripada Penjara Kluang, semalam, berhubung kematian seorang banduan berusia lingkungan 30-an itu.

Yusof berkata, siasatan mendapati banduan itu dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit kes sekitar 2016 atau 2017 yang membawa hukuman mati dan kini berada di Penjara Kluang untuk menunggu hukuman dijalankan.

“Banduan ini adalah banduan akhir dan dia juga ada membuat rayuan beberapa kali terhadap hukumannya, tetapi ditolak. Dia bukan mati dalam lokap polis, tetapi kes berlaku di penjara,” katanya.

Beliau berkata, polis mengesahkan banduan itu menggantung diri menggunakan kain selimut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Terdahulu, badan bukan kerajaan (NGO) Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) dalam kenyataan, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai satu lagi kes kematian dalam tahanan yang berlaku di Penjara Kluang.

EDICT berkata, kes kali ini melibatkan seorang lelaki berusia 30-an warga Nepal dan mayat kini berada di Hospital Kluang untuk dilakukan proses bedah siasat.

“EDICT ingin mengulangi pendirian, kematian dalam tahanan adalah tidak wajar berlaku. Pihak penjara hendaklah sentiasa peka dengan keadaan kesihatan serta cakna integriti dalam memastikan tahanan mendapat layanan yang berperikemanusiaan,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.