
Kata beliau, arahan kepada pegawai dan anggota polis itu dibuat bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tahanan dalam lokap.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak mahu insiden ini (kematian dalam tahanan lokap) berlaku, namun secara dasarnya perkara itu telah ditambah baik sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Bukit Aman semalam, menurut laporan Bernama.
“Kami memandang serius perkara ini, justeru banyak lagi penambahbaikan akan dilakukan termasuklah pemeriksaan kesihatan dibuat kepada waris terdekat kepada individu disyaki itu.”
Acryl Sani berkata, pihaknya turut meminta penglibatan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), bagi menyiasat sebarang salah laku oleh anggota dan pegawai yang mengendalikan tahanan lokap.
Suhakam sokong tubuh pasukan perubatan di lokap
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, ia menyokong penubuhan pasukan perubatan di lokap polis, dan menggesa agar Peraturan Lokap 1953 dikaji semula.
“Tiga kematian lelaki yang agak muda dan sihat semasa ditangkap, dalam tempoh hanya lima minggu menunjukkan kelemahan SOP ataupun berkemungkinan berlakunya penyeksaan dan kekerasan terhadap mereka yang ditahan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tiga tahanan yang meninggal dunia sebelum ini ialah A Ganapathy pada 18 April, S Sivabalan pada 20 Mei, dan Surendran Shanker pada 27 Mei.
Suruhanjaya berkenaan menyeru agar penahanan mana-mana individu dilakukan mengikut undang-undang.
Ia turut menggesa polis menyiasat dakwaan salah guna kuasa, penyeksaan dan penderaan suspek yang berlaku dalam pasukannya, dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab.
Selain itu, katanya, polis perlu memastikan prosiding tatatertib dalaman dijalankan dan tindakan diambil terhadap anggotanya yang melanggar arahan, termasuk sebarang arahan mahkamah berkaitan kes.
“Suhakam berpandangan ini adalah masa yang sesuai untuk mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk menyertai Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) bagi menunjukkan komitmen kerajaan untuk menangani isu kematian dalam tahanan di negara ini,” tambahnya.