
Beliau berkata, setakat ini hanya tiga vaksin telah mendapat kelulusan bersyarat untuk tujuan kecemasan oleh NPRA iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, kata bekas Menteri Besar Johor itu sambil menegaskan lebih banyak vaksin diperlukan.
Sehingga Isnin, Menteri Penyelaras Program Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata selain Sputnik, CanSino China dan vaksin Johnson & Johnson AS kini sedang dinilai oleh NPRA.
“Kebanyakan vaksin tersebut telah mendapat kelulusan agensi kawal selia antarabangsa dan melalui pelbagai skrutini klinikal yang sangat rumit dan komprehensif,” kata Khaled dalam kenyataan.
“Vaksin seperti Sputnik V contohnya, mempunyai keberkesanan yang sangat tinggi dan datanya telah diterbitkan dalam Lancet, jurnal perubatan berwasit paling berwibawa, yang hanya menerbitkan hasil penyelidikan paling unggul.
“Kita tidak boleh terlalu optimistik bahawa bekalan vaksin kita akan mencukupi kerana kita sangat bergantung kepada bekalan luar,” tambahnya.
Kenyataan Khaled itu mencerminkan pendapat bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini berkata Malaysia perlu mempertimbangkan penggunaan vaksin yang telah mendapat kelulusan bersyarat untuk digunakan di negara maju daripada membuang masa melakukan penilaian tambahan.
Jawatankuasa Vaksinasi Pakatan Harapan Covid-19 turut mendesak kerajaan dan NPRA untuk mempercepatkan kelulusan vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pihak berkuasa antarabangsa.
Selain mempercepat proses vaksinasi kebangsaan, Khaled berkata memiliki kepelbagaian kelulusan vaksin adalah sangat strategik kepada negara. Ia memastikan negara mempunyai akses kepada pelbagai vaksin lain dalam waktu yang memerlukan.
“Banyak negara telah menempah bekalan untuk empat tahun mendatang bagi memastikan mereka mempunyai simpanan vaksin mencukupi kerana tiada siapa boleh meramalkan bilakah pandemik ini akan berakhir,” kata Khaled.
“Perancangan kesihatan awam kita mesti mengambil kira pendekatan jangka masa panjang.”