
Azmi Hassan berkata, ini mungkin memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen semula.
“Adalah jelas rakyat mahu Parlimen dibuka. Menteri berkaitan perlu menjawab soalan mengenai keadaan Covid-19. Rakyat sedang menunggu jawapan.
“Ia juga jelas kerajaan mungkin memerlukan bantuan tambahan dalam pengurusan pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.
Antara isu yang perlu dibahaskan segera, katanya, adalah kadar vaksinasi perlahan, lonjakan jangkitan secara mendadak, kapasiti unit rawatan rapi (ICU), kesihatan mental, pekerjaan, pergelutan ekonomi, pendidikan dan langkah seterusnya selepas pandemik ini.
Azmi mendakwa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun bahkan gagal memberikan alasan jelas untuk tidak membenarkan Parlimen bersidang semula.
Isnin lalu, Azhar dilaporkan berkata, terpulang kepada kerajaan menentukan sama ada Parlimen boleh bersidang, dengan memetik Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk mempertahankan pendiriannya.
Katanya, kuasa mengadakan sidang Parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong, tetapi bertindak atas nasihat perdana menteri.
Azhar berkata demikian susulan Timbalannya, Azalina pada minggu lalu berkata, perintah kawalan pergerakan penuh tidak patut melumpuhkan demokrasi.
Katanya, menafikan hak Ahli Parlimen untuk melibat urus dengan kerajaan bermaksud menafikan hak rakyat.
Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, perbahasan diperlukan akibat lonjakan kes Covid-19.
“Rakyat mahu jawapan terhadap masalah mereka,” katanya kepada FMT.
“Satu-satunya cara ialah untuk kerajaan tidak terlalu bersikap mempertahankan diri.”
Tahun lalu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) bertanya kepada perdana menteri, bilakah 26 usul tidak percaya dan dua usul percaya terhadap kepimpinannya akan dibentangkan serta dibahaskan.