Plaza tol Jalan Duta sesak bukan sebab balik kampung, kata polis

Plaza tol Jalan Duta sesak bukan sebab balik kampung, kata polis

Polis menafikan kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta pada 31 Mei lalu, berpunca daripada orang ramai pulang ke kampung.

KUALA LUMPUR:
Polis menafikan kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta pada 31 Mei lalu, berpunca daripada orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung seperti tular di media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ,Zulkefly Yahya berkata, semakan kandungan video berkenaan mendapati, kesesakan sepanjang tiga kilometer sebelum plaza tol itu berlaku antara 12.30 tengahari hingga 2.30 petang, pada tarikh berkenaan.

“Punca utama kesesakan adalah kerana pemeriksaan rapi oleh pihak polis, bagi memastikan orang awam mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kenderaan-kenderaan itu mempunyai surat kebenaran merentas negeri,” katanya dalam kenyataan.

Zulkefly berkata, kesesakan itu juga disebabkan orang ramai keluar membuat pelbagai urusan penting, sebelum bermulanya sekatan pergerakan penuh.

Beliau berkata pada tarikh dan masa berkenaan, pihaknya telah memeriksa kira-kira 4,536 kenderaan yang melalui plaza tol itu.

“JSPT KL akan terus membuat pemeriksaan secara terperinci, bagi memastikan tiada pelanggaran SOP perintah kawalan pergerakan 3.0, dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.