Adakah penjualan arak dilarang ketika ‘lockdown’?

Adakah penjualan arak dilarang ketika ‘lockdown’?

Kekeliruan tercetus selepas polis menyerbu kedai di Bangsar atas alasan 'semua kedai menjual minuman beralkohol perlu ditutup segera seperti kilang Carlsberg'.

Arak tidak dianggap minuman perlu, kata Ketua Polis Brickfields menjelaskan serbuan di sebuah kedai menjual minuman keras di Bangsar, hari ini. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Serbuan polis di sebuah kedai yang menjual minuman keras di Bangsar hari ini dipertikai kumpulan perniagaan yang keliru sama ada penjualan arak kini dilarang.

Mengesahkan serbuan itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar memberitahu FMT, mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), “semua kedai yang menjual minuman beralkohol mesti ditutup segera, seperti kilang Carlsberg”.

“Arak tidak dianggap minuman perlu. Tiada keperluan untuk mensensasikan perkara ini kerana ia perintah kerajaan untuk membantu mengekang penularan Covid-19.”

Shaun Cheah, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) menyuarakan harapan MKN akan memperjelas isu itu kerana arahannya dikeluarkan pada Selasa hanya untuk menutup kilang yang menghasilkan minuman beralkohol.

“Kilang arak ditutup, namun adakah penjualannya turut dilarang?” soalnya.

“Bagaimana jika saya turut menjual arak selain barangan keperluan makanan lain? Adakah itu dibenarkan? Adakah ada kedai yang kini perlu ditutup? Kami memerlukan pencerahan daripada MKN.”

Sementara itu, seorang pegawai organisasi penjualan minuman keras berkata, serbuan itu seolah-olah menunjukkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta polis tidak saling berkomunikasi.

Beliau yang enggan didedahkan identitinya turut mempertikaikan kenapa polis menyerbu kedai itu sekiranya premis berkenaan telah memperoleh surat izin beroperasi daripada MITI.

“Kini satu pihak berkata lain, dan satu lagi pihak pula berkata lain. Keadaan ini amat sukar bagi kami.

“Ini menyukarkan peniaga seperti kami. Kami semua keliru. Jadi kami berharap kerajaan dapat memberitahu peraturan yang perlu dipatuhi.”

Pada Selasa, MKN memutuskan semua kilang menghasilkan minuman beralkohol perlu ditutup sepanjang perintah kawalan pergerakan penuh dari 1 hingga 14 Jun.

Ini susulan premis seperti itu pada mulanya dibenarkan beroperasi oleh MITI kerana termasuk bawah kategori membekalkan minuman.

Walaupun permit beroperasi telah diberikan kepada kilang menghasilkan makanan dan minuman sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata ia hanya untuk kilang yang menghasilkan barangan keperluan.

“Kilang menghasilkan minuman beralkohol tidak termasuk dalam kategori ini,” katanya.

Pengumuman MKN itu susulan pemimpin Pemuda Amanah mempertikaikan keputusan kerajaan membenarkan Carlsberg Brewery terus beroperasi sepanjang PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.