Tikam mati ibu, anak lelaki diburu

Tikam mati ibu, anak lelaki diburu

Mangsa ditikam tiga kali selain beg tangan mengandungi barang kemas, sejumlah wang tunai, dan telefon bimbit didapati hilang.

Syed Basri Syed
Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata mangsa berusia 52 tahun ditikam di bahagian dada, selain cedera pergelangan, kepala dan muka, termasuk tikaman di tapak tangan kiri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Anak lelaki diburu bagi membantu siasatan kes ibunya ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman dalam kejadian di Taman Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini.

Mangsa, Zaharullail Basir, 52, bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank di ibu negeri ditikam pada bahagian dada kiri, selain di tapak tangan kiri.

Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang anak lelaki mangsa pada 8.45 pagi tadi yang memaklumkan pembunuhan ibunya.

Beliau berkata, mangsa ditemukan anaknya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan berlumuran darah.

“Pemeriksaan menemukan tiga kesan tikaman termasuk pada bahagian atas dada kiri, selain kecederaan di pergelangan tangan serta kesan luka di bahagian kepala dan muka, serta luka kecil dan luka tikaman di tapak tangan kiri.

“Pemeriksaan juga mendapati sebuah beg tangan mengandungi barang kemas, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit didapati hilang.

“Setakat ini motif pembunuhan masih disiasat dan polis percaya kejadian ini kemungkinan membabitkan anak mangsa,” katanya menurut Berita Harian.

Syed Basri berkata, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya dan usaha menangkap suspek sedang dilakukan.

Polis turut meminta penama Amirul Shafiq Shamsul Zahari, 28, untuk tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.