Kerajaan negeri bebas beli vaksin Moderna, Sinopharm

Kerajaan negeri bebas beli vaksin Moderna, Sinopharm

Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan negeri boleh berunding dengan pengeluar, asalkan vaksin itu sudah diluluskan pengawal selia.

Khairy Jamaluddin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam sidang media di George Town, Pulau Pinang hari ini.
GEORGE TOWN:
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan negeri bebas membeli vaksin daripada syarikat yang belum dilibat urus oleh Putrajaya.

Katanya, kerajaan negeri bebas berunding dengan pengeluar vaksin seperti Moderna dan Sinopharm, vaksin yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Dalam sidang media hari ini, Khairy berkata, selagi vaksin itu sudah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kerajaan negeri bebas membelinya.

Beliau turut mendedahkan Malaysia sudah memberi hampir 3.5 juta dos vaksin setakat ini, mengatasi negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Khairy berkata, negeri yang mahu membeli vaksin sudah digunakan seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac perlu menunggu sehingga kerajaan persekutuan menerima semua dos yang ditempahnya.

“Tiada sekatan atau monopoli oleh kerajaan persekutuan. Tolong jangan cakap kami halang. Anda bebas membeli selepas kami selesai terima tempahan kami. Jika negeri mahu berunding dengan (pengeluar vaksin) seperti Moderna atau Sinopharm, silakan, kami boleh membantu di peringkat persekutuan.”

Beliau berkata, peningkatan vaksinasi mengikut jadual, dengan sasaran 150,000 suntikan sehari dalam bulan ini dan 200,000 bulan depan.

Katanya, kadar dos yang diberikan sehari ketika ini mencecah 105,655 suntikan setakat semalam dan 1,000 doktor akan dibenarkan memberi suntikan dalam bulan ini, manakala 600 orang “hampir bersiap sedia” sekarang.

Ditanya kenapa sesetengah individu berusia 60-an di negeri lain sudah divaksin, tetapi yang tinggal di Lembah Klang dan Pulau Pinang belum mendapat vaksin mereka, katanya, penangguhan itu disebabkan populasi warga emas lebih ramai di negeri berpenduduk padat.

Khairy berkata, vaksinasi untuk warga emas berusia 70-an di negeri seperti KL, Selangor dan Pulau Pinang masih dijalankan.

Katanya, beliau akan meneliti cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk memberikan anggaran tempoh janji temu, contohnya sebulan seperti Julai atau Ogos, kepada semua pendaftar untuk menenangkan mereka yang belum mendapat janji temu vaksinasi.

Beliau turut mengulangi gesaan tidak tiba di pusat vaksinasi terlalu awal kerana kemunculan orang ramai baru-baru ini di sebuah pusat di Bandar Sunway akibat pendaftar tiba dua jam lebih awal daripada janji temu mereka.

Terdahulu, Khairy melawat Arena Spice, sebuah dewan pameran yang dijadikan pusat vaksinasi mega di Pulau Pinang yang mampu memberikan 133,000 dos vaksin AstraZeneca mulai 7 hingga 27 Jun.

Katanya, pusat itu akan bermula dengan 1,000 suntikan sehari, sebelum meningkat kepada 3,000 dos pada hari bekerja dan 5,000 suntikan pada hujung minggu.

Beliau turut berjanji akan mengkaji cadangan menubuhkan pusat vaksinasi di zon perindustrian, bermula dengan Taman Perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan untuk pekerja kilang.

Chow, yang bersama Khairy, gembira mendengar sasaran suntikan 9,000 hingga 10,000 dos sehari untuk Pulau Pinang, dalam usaha memberi vaksin kepada 1.34 juta daripada 1.77 juta penduduk negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.