‘Lakukan sesuatu, semuanya huru-hara’, Johari gesa Putrajaya bertindak

‘Lakukan sesuatu, semuanya huru-hara’, Johari gesa Putrajaya bertindak

Bekas menteri kewangan kedua itu berkata, kerajaan harus merangka strategi lebih terperinci bagi memastikan keperluan golongan rentan dapat dipenuhi.

PETALING JAYA:
Selepas “tidak cekap” menangani situasi Covid-19 di negara ini, kerajaan perlu bertindak pantas bagi memastikan jutaan rakyat mempunyai wang mencukupi untuk membeli keperluan asas ketika “lockdown”, gesa bekas menteri kewangan kedua, Johari Ghani.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan tidak seharusnya berdasarkan tahap pendapatan semata-mata kerana ini akan menyebabkan ramai yang gagal dibantu.

“Pada awalnya, kita menguruskannya dengan baik. Namun, sejak pertengahan tahun lalu, satu persatu masalah timbul. Sekarang kita di bawah ‘lockdown’ dan saya sangat bimbang dengan nasib rakyat, terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Setiap kali ‘lockdown’, pekerja sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri paling terkesan kerana bergantung kepada pendapatan harian,” kata beliau kepada FMT sambil menambah statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kira-kira 3.92 juta individu termasuk dalam dua kategori itu.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, kerajaan seharusnya merangka strategi lebih terperinci bagi memastikan keperluan golongan rentan dijaga.

Beliau berkata, terdapat banyak aduan sejak dari perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama mengenai bantuan yang disalurkan tidak diterima golongan sasar, dengan laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menunjukkan ramai penduduk miskin bandar masih bergelut.

Ini menunjukkan ketidakpadanan antara bantuan yang diperlukan rakyat dan yang ditawarkan kerajaan, katanya.

“Kita perlu semua wakil rakyat dan Ahli Parlimen turun padang serta mengenal pasti individu atau keluarga yang tidak mampu membeli makanan serta keperluan harian.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga hendaklah bekerjasama dengan wakil rakyat bagi mengagihkan bantuan serta memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya.

Johari berkata, kerajaan persekutuan mesti memperuntukkan dana dengan segera untuk pembelian barang keperluan, yang boleh diperolehi daripada kawasan masing-masing untuk membantu memacu ekonomi tempatan.

‘Lockdown’ penuh yang lebih sesuai 

Johari mahu Putrajaya bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan saringan besar-besaran. (Gambar AP)

Walaupun beliau bersetuju “lockdown” penuh diperlukan berdasarkan situasi semasa Covid-19, kerajaan perlu mempunyai strategi tepat untuk mengelakkan langkah sebegitu terpaksa digunakan.

“‘Lockdown’ berulang kali akan membawa kesan buruk kepada ekonomi, bukan hanya kerana ia menjejaskan permintaan, tetapi juga mencetuskan ketidakpastian,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga tidak membantu dengan mengeluarkan arahan tidak jelas dan komunikasi kerajaan yang lemah menimbulkan kekeliruan, sekali gus mengurangkan keyakinan pelabur.

“Kesannya, kita melihat perniagaan terpaksa dikecilkan dan tidak lagi mengambil kakitangan kerana ketidakpastian mengenai dasar kerajaan menghalang mereka melabur untuk beroperasi atau memperluaskan operasi; atau lebih teruk lagi, mereka terpaksa menutup terus operasi.”

Justeru, kerajaan perlu lebih jelas dengan apakah yang dimaksudkan sebagai sektor perlu.

“Bagi saya, hanya industri makanan dan minuman, termasuk yang terbabit dalam rangkaian bekalan dan pengagihan produk.

“Memandangkan banyak kluster berpunca dari tempat kerja, terutamanya kilang, kerajaan hendaklah mengarahkan ia ditutup dan menjalankan saringan besar-besaran bagi semua pekerja tempatan dan asing, biarpun kilang berkenaan menghasilkan produk eksport penting, seperti barangan elektrik dan elektronik atau sarung tangan perubatan.”

Johari mencadangkan Putrajaya bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengendalikan saringan besar-besaran, kuarantin, pendidikan kesihatan serta tindakan penguatkuasaan.

Strategi keluar

Johari Ghani berkata, jika mahu program vaksinasi berjaya, rakyat perlu percaya kepada kerajaan dan itu hanya boleh berlaku melalui ketelusan.

Johari berkata, perkara yang belum jelas kepada orang awam, pasaran serta pelabur adalah strategi keluar Malaysia.

“Sudah setahun sejak Covid-19 melanda, tetapi kita kelihatan tiada hala tuju. Tiada siapa tahu cara untuk keluar, apatah lagi tahu bila kita akan dapat keluar daripada bahaya.”

Namun kata beliau, jelas bahawa vaksin menjadi pertaruhan terbaik negara untuk memerangi pandemik ini dan kunci kepada pemulihan ekonomi.

“Kebimbangan saya berdasarkan keadaan semasa ialah kemungkinan besar sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini tidak akan tercapai.

“Ternyata kita tidak cukup pantas kerana jangkitan baharu dan angka korban semakin meningkat. Minggu lalu, kita mencapai purata 7,000 kes dan 60 kematian sehari, malah Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencapai kapasiti maksimum.”

Johari berkata, bagi menambah baik proses imunisasi, kerajaan perlu menguruskannya dengan efisien dan telus.

“Dedahkan kepada umum kos bagi setiap dos vaksin, dedahkan syarikat yang dilantik untuk menguruskan proses imunisasi di pusat vaksinasi dan berapa banyakkah yang dibayar kerajaan kepada mereka.”

Mengenai RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara, katanya, kerajaan perlu mendedahkan berapa banyak yang telah digunakan dan pecahan perbelanjaannya secara terperinci.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada vaksin dibeli secara terus daripada pengeluar atau ejen dilantik syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Malaysia.

“Jika dibeli melalui ejen, setiap ejen dibenarkan mengimport berapa banyak?”

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan sama ada syarikat lantikan kerajaan menawarkan vaksin kepada kakitangan pusat beli-belah dengan bayaran RM50.

“Adakah perkhidmatan ini terbuka kepada kakitangan syarikat lain?

“Jika mahu program vaksinasi ini berjaya, rakyat perlu percaya kepada kerajaan dan itu hanya boleh dicapai melalui ketelusan.”

Johari berkata, kerajaan juga patut melaporkan perkembangan mingguan mengenai baki bekalan vaksin, jumlah yang diperuntukkan kepada negeri serta jadual bekalan vaksin dijangka tiba.

Beliau turut mencadangkan kerajaan membenarkan vaksinasi secara “walk-in” atas dasar “siapa cepat, dia dapat”, terutamanya di negeri yang mencatatkan kadar tinggi pendaftar vaksin gagal menghadiri janji temu.

“Ini akan mengoptimumkan bekalan vaksin. Kerajaan perlu membenarkan hospital swasta memperolehi bekalan vaksin mereka sendiri. Kenapa hospital swasta tidak dibenarkan mengimport vaksin atas tanggungan mereka sendiri?

“Tiada gunanya melantik 2,500 doktor dan membenarkan hospital swasta melakukan vaksinasi, jika mereka terpaksa menunggu bekalan daripada kerajaan.”

Johari turut menggesa kerajaan bertindak telus dan berhenti memberikan layanan istimewa kepada VVIP serta keluarga mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.