
Tahun lalu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merampas 2,765kg dadah pelbagai jenis yang berjumlah RM 33.27 juta, dengan 18,837 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
“Ini adalah yang tertinggi di Malaysia berbanding negeri lain. Ops Jaring untuk berjaya menumpaskan sindiket dan pengedar. Jabatan ini juga berjaya merampas barang lain bernilai RM 14.01 juta daripada suspek yang ditangkap,” katanya kepada FMT.
Antara Jan dan Mei tahun ini, katanya, sejumlah 6,748 kg dadah pelbagai jenis bernilai RM 344.73 juta dirampas.
“Kita menahan 5,820 individu dan juga jumlah barang lain yang dirampas dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu bernilai RM 23.6 juta daripada suspek yang ditangkap,” katanya.
Berhubung status dadah sama ada ia dibawa masuk dari luar negara atau penggunaan warga tempatan, Ayob Khan berkata walaupun siasatan menunjukkan dadah yang dirampas membabitkan pengedaran dalam negara, beberapa kes sedang dibawa masuk dari Thailand untuk diedarkan ke pasaran Indonesia melalui pelabuhan haram sekitar negeri itu.
Katanya, hasil kerjasama orang awam dan penguatkuasaan yang lebih ketat melalui Ops Jaring menyumbang kepada kejayaan negeri dalam menumpaskan sindiket penyeludupan dadah.
“Sempadan negeri yang ketat oleh polis maritim memang membuahkan hasil dengan penangkapan beberapa sindiket yang cuba menyeludup dadah melalui pelabuhan haram di daerah Muar untuk diedarkan di Indonesia.
“Tahun lalu, 15 sindiket tumpas dengan 174 suspek yang ditangkap oleh jabatan itu di bawah Ops Jaring. Kita merampas dadah bernilai RM12.4 juta dan barang lain berjumlah RM5.8 juta dari sindiket ini,” katanya.
Tambah beliau, untuk lima bulan pertama tahun ini, polis menumpaskan tujuh sindiket dan menahan 59 suspek.