NUBE kecam pengurangan kakitangan HSBC ketika pandemik

NUBE kecam pengurangan kakitangan HSBC ketika pandemik

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata pihaknya meminta HSBC supaya menangguhkan pengumuman pelaksanaan VSS dan MSS sementara perbincangan lanjut diadakan antara kesatuan dan pengurusan bank itu namun ia tetap diteruskan.

NUBE beranggapan HSBC tidak mengikut prosedur yang betul apabila bertegas untuk mengumumkan pelaksanaan VSS dan MSS pada 3 Jun lalu.
PETALING JAYA:
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membantah tindakan HSBC Bank Malaysia (HSBC) mengumumkan langkah penyusunan semula syarikat yang mengakibatkan 600 kakitangan hilang pekerjaan ketika negara dihimpit impak pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata HSBC mengumumkan pelaksanaan skim pemisahan sukarela (VSS) dan skim pemisahan bersama (MSS), yang merupakan kali ketiga dalam tempoh enam tahun, Khamis lalu.

“NUBE berpandangan HSBC, sebagai sebuah bank antarabangsa yang terus merekodkan keuntungan, tidak sewajarnya melaksanakan VSS dan MSS, yang merupakan satu bentuk pemberhentian dan pembuangan pekerja secara halus, yang melibatkan sekitar 600 orang pekerja dari kumpulan B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan.

Solomon berkata, NUBE sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan HSBC pada 25 dan 28 Mei lalu meminta HSBC menangguhkan menangguhkan pengumuman pelaksanaan VSS dan MSS sementara perbincangan lanjut diadakan antara kesatuan dan pengurusan HSBC.

Bagaimanapun katanya, pengurusan HSBC terus bersikap degil untuk meneruskan pengumuman mereka.

“Oleh itu, NUBE beranggapan bahawa HSBC tidak mengikut prosedur yang betul apabila bertegas untuk mengumumkan pelaksanaan VSS dan MSS pada 3 Jun 2021 atas alasan penyusunan semula fungsi dan rancangan penutupan tujuh buah cawangan di seluruh negara.

“NUBE percaya rancangan penyusunan semula dan penutupan cawangan ini tidak muncul semalaman; sebaliknya sudah pasti melibatkan satu perancangan berbulan dan bertahun lama,” katanya.

Beliau berkata, NUBE berpegang kepada pendirian bahawa perincian perancangan ini seharusnya telah diberikan demi kepentingan setiap pemegang taruh, terutama pihak berkepentingan bank yang paling penting, yang merupakan ‘pekerja’ itu sendiri dan pelanggan.

Katanya, memandangkan HSBC memperoleh keuntungan secara berterusan, penyusunan semula harus meningkatkan tenaga kerja atau meningkatkan faedah bagi pekerjanya atau paling tidak, melatih dan menambah baik skil pekerja agar bersedia untuk industri perbankan yang sedang berkembang.

“Tindakan HSBC juga bertentangan dengan Kod Tatalaku Keharmonian Industri, amalan-amalan terbaik, serta layan adil dan saksama kepada pihak-pihak berkepentingan.

“Meskipun HSBC bertindak bertentangan dengan semangat Perjanjian Kolektif, NUBE masih bersikap optimis dan akan terus terbuka dalam memastikan HSBC mengutamakan kebajikan pekerja terutama ahli-ahli NUBE,” katanya.

Solomon berkata, NUBE meminta semua ahli yang terjejas dengan tindakan unilateral HSBC ini bertenang dan akan terus berjuang bagi memastikan hak dan kepentingan mereka terus terjaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.