
Memandang serius insiden itu berlaku di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu, Majlis Presiden PH menegaskan ia adalah satu isu mustahak yang menyentuh kedaulatan negara dan pembaharuan pertahanan perlu diuruskan secara dwipartisan.
“Insiden ini membangkitkan beberapa persoalan penting termasuk pelan tindakan untuk menangani pencerobohan serta pemodenan keupayaan tentera berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019.
“Bagi menghadapi krisis dan wabak Covid-19, kerajaan dan pembangkang harus mengenepikan soal politik dan mencari jalan penyelesaian bersama atas dasar kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan.
Majlis Presiden PH berkata, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKKPH) sudah menghantar surat rasmi kepada Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, pada 3 Jun lalu berhubung insiden itu.
“JKPH telah mencadangkan supaya Menteri Pertahanan menganjurkan taklimat rasmi dwipartisan berkenaan isu tersebut bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut tindakan pesawat berkenaan yang enggan mematuhi arahan untuk menghubungi kawalan trafik udara FIR Kota Kinabalu adalah membahayakan keselamatan ruang udara dan tidak berniat baik.
“Apabila pesawat asing dikesan terbang secara formasi taktikal ‘in-trail’ pada jarak 60 batu nautika dari Zon Maritim Malaysia, tindakan ini adalah mencurigakan dan tidak selari dengan ‘orde dunia berasaskan peraturan’,” kata kenyataan itu.
Pada 31 Mei, TUDM mengesan penerbangan mencurigakan melibatkan 16 pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara kebangsaan.
Panglima Tentera Udara, Ackbal Abdul Samad, berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada 11.53 pagi.
Bagaimanapun, China menafikan tuduhan menceroboh ruang udara Malaysia dengan jurucakap kedutaan China di Malaysia, berkata pesawat PLAAF tersebut sedang menjalani latihan penerbangan rutin tentera udara dan tidak menyasarkan mana-mana negara.