Tak pakai pelitup muka, penguat kuasa PBT di Kelantan akan dikena tindakan

Tak pakai pelitup muka, penguat kuasa PBT di Kelantan akan dikena tindakan

Polis sedang mengesan lelaki berusia 39 tahun itu untuk dikenakan tindakan dalam kadar segera, selepas menerima satu laporan terhadapnya.

Gambar penguat kuasa PBT di Pasir Mas yang tidak memakai pelitup muka ketika mengeluarkan kompaun kepada peniaga di Rantau Panjang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pasir Mas, Kelantan akan dikenakan tindakan selepas tular gambar beliau tidak memakai pelitup muka ketika mengeluarkan kompaun kepada peniaga jalanan di Rantau Panjang sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, tindakan akan diambil di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Katanya, polis sedang mengesan lelaki berusia 39 tahun itu untuk dikenakan tindakan dalam kadar segera, selepas menerima satu laporan terhadapnya.

Ketika kejadian beliau berkata, penguat kuasa itu sedang mengeluarkan kompaun kepada peniaga jalanan di lokasi yang tidak dibenarkan dekat Masjid Beijing, Rantau Panjang tanpa memakai pelitup muka.

“Gambar tular itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana penguat kuasa berkenaan tidak memakai pelitup muka ketika menjalankan tugas,” katanya dipetik Harian Metro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.