
“Setakat hari ini, jawatankuasa ini belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah,” kata tiga wakil rakyat Pakatan Harapan itu dalam kenyataan.
Mereka adalah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Saifuddin Nasution Ismail (PKR), Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (DAP) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad (Amanah).
Jawatankuasa itu ditubuhkan Februari lalu dan ditugaskan untuk menasihati Agong mengenai situasi Covid-19 serta bila darurat patut ditamatkan.
Pada 12 Jan lepas, Sultan Abdullah memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika angka kes Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Kenyataan tiga wakil rakyat itu menyusul sehari selepas Pengerusi jawatankuasa, Arifin Zakaria diterima menghadap Agong.
Tiga Ahli Parlimen itu menyuarakan pendirian mereka tiada keperluan untuk darurat kerana merasakan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara ketat adalah “kaedah terbaik” memerangi penularan Covid-19.
Mereka berkata, Parlimen sepatutnya dibenarkan bersidang semula dengan segera kerana mekanisme semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Parlimen dibuka semula secepat mungkin memandangkan semua Ahli Parlimen sudah divaksin.
Mengulas Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam, Lim berkata, ia dirangka untuk menghalang pembukaan semula Parlimen dengan segera – khasnya selepas Agong pada Februari lalu bertitah darurat tidak menghalang Parlimen daripada bersidang.
“Tidak ada kes Covid-19 harian baru di kalangan Ahli Parlimen, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen menerima rawatan di ICU, dan semua Ahli Parlimen telah diberi vaksin. Oleh itu, apa yang menghalang Parlimen daripada dibuka semula dengan segera?” soalnya dalam kenyataan.
“Jelas Mahiaddin tidak boleh mengambil risiko mengadakan sidang Parlimen yang hanya akan mendedahkan kehilangan majoriti Parlimennya, sama ada dalam bentuk kekalahan usul atau rang undang-undang kerajaan.
“Ini bukan Pelan Pemulihan Negara untuk Covid-19, tetapi Plot Politik Nasional untuk menghalang pembukaan semula segera Parlimen.”
Semalam, Muhyiddin berkata, Parlimen hanya akan bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, yang dijangka pada September atau Oktober ini.