
Semalam, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diumumkan, sekali gus menamatkan penantian penuh debaran lebih 400,000 calon dalam menentukan haluan hidup masing-masing selepas ini. Bagi yang cemerlang bersoraklah mereka dengan penuh keriangan ibarat ‘kemenangan berganda’ tatkala meneruskan sambutan Syawal.
Maka dengan itu juga, berduyunlah mak ayah penuh bangga memenuhi laman sosial masing-masing dengan ‘posting’ berserta gambar bersama anak dengan keputusan 11A+, 10A, 9A…apa sajalah asalkan cemerlang. Ya, tidak salah pun meraikan kejayaan itu, bukannya setiap hari.
Ketika mengumumkan keputusan semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, berkata SPM 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.
Sebanyak 366,435 calon atau 94.29% layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 pada 2024. Bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran meningkat 3.55% iaitu daripada 13,827 pada 2024 kepada 13,779 pada 2025.
Itu serba sedikit apa yang tersurat mengenai SPM 2025 di mana calonnya adalah kohort pertama pelajar menduduki peperiksaan itu tanpa melalui Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Bak kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, generasi berkenaan membuktikan daya tahan tinggi apabila mencatatkan pencapaian memberangsangkan. Mereka adalah golongan sering menjadi perhatian kerana tidak melalui sistem peperiksaan berpusat di peringkat awal, berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk gangguan pembelajaran semasa pandemik Covid-19.
Sudah lumrah, jika ada yang gembira pasti ada berduka kerana mendapat keputusan ‘tak berapa elok’, gagal atau ‘cukup-cukup makan’. Dalam hidup ini tidak semua yang kita impikan datang bergolek atau jatuh ke riba. Jika sudah berusaha dan itu yang kita dapat maka jawapannya adalah reda.
Golongan ini sebenarnya perlu ditunjuk jalan, jangan biarkan mereka terkapai-kapai tidak tahu ke mana hendak dituju. Mereka sebenarnya tidak kalah sebaliknya kurang bernasib baik dan ‘kemenangan itu tertangguh ke suatu masa’. Jangan sesekali dipinggirkan kerana mereka juga belia harapan negara.
Benar, bermacam peluang disediakan kerajaan kepada golongan ini antaranya laluan kemahiran seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kolej komuniti atau mengikuti kursus jangka pendek malah menduduki semula peperiksaan. Cuma, kita harus membimbing mereka melalui detik sukar ini dengan positif supaya ‘luka dicakar’ SPM terubat.
Dekatilah, kerana mereka juga berhak melalui kehidupan mendatang dengan kemampuan yang dianugerahkan.
Bagi yang cemerlang kita sudah tahu laluan dilakar mereka boleh dikatakan cerah dengan menara gading menadah luas tangan menyambut kedatangan kelak. Namun, usah terbuai dengan kejayaan semalam, dalam erti kata mudah ‘jangan seronok sangat’ kerana sejarah boleh malah mungkin tidak berulang. Teruskan mengejar cita-cita.
Kawan…perjalananmu masih jauh. Bagi yang rebah mahupun tersungkur di langkah pertama, jangan pernah mengalah atau berputus asa kerana di mana kita bermula bukan ukuran, apa yang penting di mana kita berakhir.
Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.