Depay, Dumfries bawa Oranje ke pusingan kalah mati

Depay, Dumfries bawa Oranje ke pusingan kalah mati

Pada perlawanan sebelumnya, Kevin De Bruyne menjaringkan gol kemenangan ketika Belgium bangkit menewaskan Denmark 2-1, selepas ketinggalan di Copenhagen untuk mara ke peringkat kalah mati.

Frenkie de Jong mengawal bola ketika perlawanan Belanda menentang Austria di Amsterdam awal pagi tadi. (Gambar AP)
AMSTERDAM:
Jaringan Memphis Depay menerusi sepakan penalti pada awal permainan membantu Belanda melakar kemenangan 2-0 ke atas Austria awal pagi tadi, iaitu kemenangan kedua berturut-turut mereka dalam saingan Euro 2020, sekali gus menempah tiket ke pusingan 16 terakhir selaku pendahulu Kumpulan C.

Depay memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya pada minit ke-11 apabila David Alaba mengasari Denzel Dumfries yang dikesan pengadil selepas melihat sesi ulang tayang video.

Dumfries yang mempamerkan aksi cemerlang ketika Belanda menewaskan Ukraine 3-2 pada aksi pembukaan, menambah gol kedua pada pertengahan babak kedua yang merupakan gol keduanya dalam saingan itu.

Belanda dilihat selesa beraksi di halaman sendiri di Arena Johan Cruyff dan anak buah Frank de Boer setakat ini menunjukkan kejayaan pada penampilan pertama mereka pada kejohanan utama sejak Piala Dunia 2014.

Ia berita baik untuk de Boer yang menggantikan Ronald Koeman, yang kini membimbing Barcelona dan berada di stadium menyaksikan perlawanan berkenaan.

Belanda kini mengumpul enam mata dan hanya memerlukan satu mata untuk muncul juara kumpulan apabila bertemu Macedonia Utara pada perlawanan terakhir.

Sementara itu dalam perlawanan sebelumnya, Kevin De Bruyne menjaringkan gol kemenangan ketika Belgium bangkit menewaskan Denmark 2-1 selepas ketinggalan di Copenhagen untuk mara ke peringkat kalah mati Euro 2020.

Perlawanan turut menyaksikan pemain dan penyokong di Stadium Parken menunjukkan sokongan terhadap Christian Eriksen yang rebah di padang ketika aksi pembukaan menentang Finland Ahad lalu.

Yussuf Poulsen memberikan tuan rumah gol awal pada minit kedua namun de Bruyne dipanggil dari bangku simpanan selepas babak pertama untuk membuat penampilan sulung dalam kejohanan ini selepas mengalami kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.