Harga siling ujian Covid-19 hanya liputi kos makmal, kata hospital swasta

Harga siling ujian Covid-19 hanya liputi kos makmal, kata hospital swasta

Persatuan Hospital Swasta Malaysia berkata, harga siling itu tidak termasuk bayaran untuk mendapatkan sampel, kos PPE dan perundingan bersama pegawai perubatan.

PETALING JAYA:
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, harga siling ujian saringan Covid-19 yang diwartakan di bawah Ordinan Darurat hanya meliputi kos makmal.

Presidennya Dr Kuljit Singh berkata, harga siling itu tidak termasuk bayaran mendapatkan sampel, kos peralatan perlindungan diri (PPE) dan perundingan bersama pegawai perubatan.

“Hospital swasta akan mempamerkan caj ujian Covid-19 terakhir yang merangkumi caj makmal, bayaran mendapatkan sampel, kos PPE serta caj lain untuk orang ramai membuat pilihan.

“Caj berkenaan berbeza bagi setiap hospital berdasarkan perkhidmatan dan lokasi. Kami berharap ini dapat membantu orang ramai memahami harga yang diwartakan kerajaan hanya bergantung kepada kos ujian makmal dan tidak termasuk kos tambahan lain,” katanya dalam kenyataan.

Majoriti daripada 152 ahli APHM menawarkan ujian saringan Covid-19 melalui pelbagai kaedah, termasuk pandu lalu. Ujian saringan Covid-19 dilaksanakan di premis hospital swasta sejak awal 2020 ketika pandemik itu mula dikesan di Malaysia.

Mei lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, klinik atau pusat perubatan swasta perlu menyediakan bil terperinci bagi ujian Covid-19 di premis mereka jika ia melebihi harga siling ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Semalam, kerajaan menetapkan harga siling untuk ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ialah RM150; rapid molecular yang membolehkan ujian diperoleh dengan pantas pada harga harga RM270, Rapid Test Kit (RTK) Antigen (RTK-Ag) berharga RM60 dan ujian pantas mengesan antibodi pada kadar RM50 di Semenanjung.

Harga siling RT-PCR di Sabah dan Sarawak pula ditetapkan RM200, manakala rapid molecular (RM350), RTK-Ag (RM80) dan ujian pantas antibodi (RM70).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.