
Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari dari 23 Jun hingga 6 Julai ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid -19.
Di Sarawak PKPD terbaharu membabitkan dua lokaliti dalam Bahagian Mukah, iaitu Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah.
“Sehingga kini, sebanyak 49 kes telah direkodkan hasil daripada 117 ujian saringan di Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau manakala di Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, sebanyak 25 ujian saringan telah dilakukan dan 15 daripadanya positif,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan wabak Covid-19.
Manakala di Sabah, PKPD membabitkan dua lokaliti di Tawau, iatu Blok 11 Kampung Titingan selepas 13 dikesan positif dan Batu 7, Jalan Tinagat apabila 12 daripada 15 individu disaring positif.
PKPD turut dilaksanakan di Kampung Ejuk, Kota Belud, apabila lapan dikesan positif setakat ini.
Kampung Warisan, Kota Kinabalu, juga di Sabah turut dikenakan PKPD selepas 13 individu dikesan positif.
Di Melaka PKPD membabitkan Penjara Sungai Udang Melaka Tengah, Melaka.
“Sehingga 21 Jun 2021, KKM telah melakukan 262 ujian saringan dan 157 daripadanya dilaporkan positif Covid-19,”katanya sambil memaklumkan PKPD di lokaliti terbabit tidak melibatkan kuarters kakitangan penjara.
Sementara itu, di Perak, PKPD membabitkan
Kilang Sawit Cahaya Muda termasuk kuarters pekerja, di Batang Padang di mana 97 daripada 281 disaring telah dilaporkan positif.
Ismail berkata, PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Tawau, iaitu Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah dan Taman Megah Jaya; Kampung Narandang, Kudat; Ladang FGV Kalabakan Selatan, Kalabakan, Sabah; Politeknik Sultan Azlan Shah, Muallim; dan Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak, akan tamat bermula jam 11.59 esok.
Sementara itu, PKPD di Kampung Bolong Baru, Kampung Simpangan, Tuaran, Sabah dan Felda Tembangau 1 & 3, Bera, Pahang akan tamat bermula jam 11.59 malam ini.
Ismail turut memaklumkan, pihak polis semalam menahan 825 lagi individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 810 individu dikompaun manakala 15 lagi direman.