MAQIS rampas 30 tan daging kerbau import

MAQIS rampas 30 tan daging kerbau import

Sijil halal tertera pada konsainan tidak sama dengan yang terdapat pada bungkusan 27,998kg daging bernilai RM427,691 itu.

Pegawai MAQIS memeriksa daging beku di Butterworth, baru-baru ini.
GEORGE TOWN:
Isu ‘kartel daging’ sekali lagi timbul apabila hampir 30 tan daging kerbau tanpa tulang dari India bernilai RM427,000 dirampas di pelabuhan di Butterworth oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Noriah Dahlan berkata, rampasan itu dibuat dalam serbuan Selasa lalu susulan sijil halal tertera pada konsainmen tidak sama dengan yang terdapat pada bungkusan 27,998kg daging bernilai RM427,691 itu.

Katanya, menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta MAQIS 2011 untuk menggunakan permit, lesen dan sijil palsu bagi pengimportan.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum denda RM50,000 dan penjara dua tahun, atau kedua-duanya.

Lewat tahun lalu, pegawai kanan dari sekurang-kurangnya empat agensi kerajaan dilaporkan bersekongkol dengan kartel yang mengimport daging yang tiada sijil halal, termasuk kanggaru dan kuda, ke Malaysia kononnya sebagai daging halal.

Sumber mendakwa pegawai kanan terbabit yang dipertanggungjawabkan menjaga standard halal, menerima rasuah termasuk habuan seks untuk memastikan operasi kartel berkenaan tidak dikesan pihak berkuasa.

Hanya beberapa negara diluluskan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk pengimportan daging halal, iaitu Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Jepun, New Zealand dan AS, manakala proses import dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.