Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim.
Sehubungan itu, Parlimen mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan pada awal Ogos bagi memperincikan resolusi diperlukan untuk diterima pakai berkaitan peraturan mesyuarat dan perkara teknikal berkaitan.
“Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia, ujian, pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan Ahli Parlimen.
“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan mengambil inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian selepas Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, mereka berkata, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan oleh kedua-dua Yang di-Pertua Dewan dan dianggotai Timbalan Yang di-Pertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen ditubuhkan bagi tujuan berkenaan.
“Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi perjalanan persidangan hibrid dan mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara dan selebihnya mempunyai pilihan untuk hadir secara fizikal atau maya.
“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa perdana menteri selaku ketua majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid ini dapat disediakan seberapa segera yang mungkin,” katanya.
Katanya, segala persiapan sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ketua majlis semalam dan mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik.
“Jawatankuasa Khas menjangkakan bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat,” katanya.