“Syukur pada Allah, ‘team’ kami berada di Gaza Palestin. Kami masuk dengan diiringi tentera Mesir dengan kereta berperisai sepanjang perjalanan,” kata Ebit dalam catatan di Facebook pagi ini.
“Sebak sayu terasa seperti balik kampung halaman sendiri. Mungkin dari kecil berdoa untuk rakyat Palestin. Kini dapat jejak kaki ke sini.
“Saya minta maaf tidak kemas kini sebelum ini atas faktor keselamatan. Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent. Ramai berebut untuk menyambut.”
Beliau berkata, menurut kedutaan Malaysia dan tentera Mesir, rombongannya adalah yang pertama di dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas pertempuran di kawasan itu baru-baru ini.
Ebit turut menzahirkan penghargaannya kepada beberapa pihak yang membantu melancarkan usahanya, terutama sekali Menteri Luar Hishammuddin Hussein, yang katanya menghubungi kerajaan Mesir dan datang membantunya secara terus.
“Terima kasih DYAM HRH Crown Prince of Johor TMJ yang sangat banyak membantu dan turut menyumbang bersama. Terima kasih juga kepada PM Muhyiddin Yassin yang menghubungi presiden Mesir dengan menyebut tentang misi kami.
“Terima kasih kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,” katanya.
Ebit meninggalkan negara bulan lalu bagi menghantar bantuan kemanusian ke Gaza selepas Palestin diserang oleh Israel hingga menyebabkan banyak kemusnahan serta kehilangan nyawa.
Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, misi kemanusiaan berkenaan mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.