
Walaupun menyokong pengecualian cukai, insentif “one-off” dan moratorium menyeluruh, dua kumpulan industri pelancongan menyatakan masalah mereka dengan pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.
Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA), Richard Koh, berkata pembekuan semua bayaran berkanun seperti pembaharuan lesen, yuran tahunan, pemeriksaan kenderaan rutin untuk bas pelancongan, dan bayaran kerajaan yang lain sepatutnya dilaksanakan sehingga 31 Disember.
Katanya, dengan sektor pelancongan hanya menyumbang RM12.6 bilion tahun lalu berbanding RM66.1 bilion pada 2019 iaitu penurunan 81%, jelas wabak tersebut telah menyukarkan industri ini.
Koh berkata, walaupun pinjaman Penjana bernilai RM1 bilion disediakan untuk sektor pelancongan, ia belum dapat digunakan sebaiknya, dengan hanya RM65 juta dikeluarkan kepada 327 pemohon. Katanya, pinjaman itu perlu diuruskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bukan panel 12 bank seperti yang diamalkan sekarang.
Beliau berkata, diharapkan taman hiburan, kawasan tarikan, taman permainan, spa, pawagam dan pusat hiburan keluarga di pusat membeli-belah dapat dibuka semula pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Kumpulan lain yang mewakili hotel berkata moratorium pinjaman perlulah tanpa faedah dan diskaun 10% bil elektrik semasa adalah terlalu rendah ketika kebanyakan hotel hampir tidak memenuhi 20% penghunian ketika PKP.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), N Subramaniam, berkata pakej PEMULIH tidak memenuhi keperluan khusus industri perhotelan dan pelancongan. Katanya rungutan utama adalah diskaun bil elektrik yang kekal pada kadar 10% ketika hotel hampir tidak dikunjungi.
Katanya, insentif “one-off” RM3,000 ditawarkan kepada pengusaha pelancongan tidak diberikan kepada pengusaha hotel, walaupun mereka juga berdepan masalah aliran tunai.
Namun, beliau menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan subsidi gaji kepada mereka yang berpendapatan melebihi RM4,000.
Subramaniam berkata, pengecualian levi bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia juga tidak jelas, kerana ia dimaksudkan untuk mereka yang tidak beroperasi sepanjang PKP. Hotel tidak termasuk, katanya.
“Industri menyambut baik moratorium pinjaman menyeluruh yang sepatutnya memberikan kelegaan bukan sahaja kepada perniagaan pelancongan dan perhotelan, tetapi juga orang industri. Bagaimanapun, moratorium sepatutnya tanpa faedah untuk memastikan peminjam tidak terus terjerumus dalam hutang” katanya.