Apa yang boleh, tidak boleh semasa PKPD di 34 mukim, 14 lokaliti di Selangor, KL

Apa yang boleh, tidak boleh semasa PKPD di 34 mukim, 14 lokaliti di Selangor, KL

Ringkasan kawalan yang diumumkan kerajaan bagi 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di KL bawah PKPD.

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan kawalan pergerakan diperketatkan di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur bermula 3 hingga 16 Julai.

Berikut ringkasan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengenai kawalan yang diumumkan.

* Semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh polis.
* Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing, kecuali seorang (1) sahaja wakil isi rumah keluar hanya untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.
* Tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas 8 malam, kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran polis.
* Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan.

* Lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
* Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-panggilan) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50%.
* Bilangan penumpang dalam teksi dan e-panggilan dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu.

* Hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) sahaja dibenarkan untuk beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan, dan kumbahan.
* Hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih (loaf), gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

* Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu (essential services) atau menjalankan tugas rasmi kerajaan.
* Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis-premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI.
* Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD. Majikan dikehendaki membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

* Restoran, kedai atau gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.
* Pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru), atau penghantaran (delivery) sahaja dibenarkan.
* Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

* Hospital, klinik, dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.
* Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.
* Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam, kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.
* Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 pagi hingga 6 pagi.
* Pasar awam, pasar tani kekal (PTK), dan MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang.

* Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.

SOP penuh dan maklumat terperinci boleh didapati di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.