
“Kami menggesa semua ahli Parlimen, sama ada pembangkang mahupun kerajaan, yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini.”
Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama hari ini turut berkata, gabungan itu memandang serius kenyataan Istana Negara pada Rabu lalu yang merupakan kali ketiga Agong menitahkan supaya Parlimen bersidang semula.
Katanya, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut mengeluarkan kenyataan pada hari sama bahawa sidang khas Parlimen boleh diadakan sebelum 1 Ogos ini.
“Namun, kami kesal sehingga hari ini, perdana menteri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Agong berhubung sidang Parlimen diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.
“Majlis Presiden berpandangan perdana menteri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah melakukan penderhakaan terhadap bukan sahaja Agong, tetapi juga terhadap Raja-raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.”
Katanya, Parlimen perlu bersidang semula untuk membincangkan usaha berkesan mengekang penularan Covid-19 serta menyelesaikan masalah ekonomi dan rakyat.
“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang membunuh diri dan ada yang mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen mesti memberi fokus kepada isu rakyat, bukannya isu politik.”
Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengulangi kenyataan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan.
Istana Negara mengingatkan “pandangan dan seruan” pada Rabu lalu adalah “pendirian” Agong dan Raja-raja Melayu yang bertindak sebagai raja berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.