Apartmen Sri Rakyat, Bukit Jalil bawah PKPD mulai Ahad

Apartmen Sri Rakyat, Bukit Jalil bawah PKPD mulai Ahad

PKPD di apartmen itu berkuat kuasa dari 11 hingga 24 Julai.

PETALING JAYA:
Apartmen Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan berada bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hasil pemantauan KKM mendapati trend kes  meningkat dan setakat ini, sebanyak 94 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 598  penduduk di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan.

PKPD akan berkuat kuasa selama 14 hari hingga 24 Julai.

Sementara itu, di Sabah PKPD melibatkan Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan, selepas terdapat sembilan kes positif Covid-19 dilaporkan dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Manakala, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur PKPD di Jalan Kubur dilanjutkan susulan kes masih menular dalam kalangan penduduk selain terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, KKM melakukan 492 ujian saringan dan 258 daripadanya dilaporkan positif Covid-19.”

Ismail turut memaklumkan, PKPD yang akan tamat pada 10 Julai ini melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, Sandakan, Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, dua lokaliti di Tawau dan Lorong 12, 15 dan 16, Taman Fajar, Sandakan di Sabah.

Manakala, PKPD di Kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur tamat hari ini bermula 11.59 malam seperti dijadualkan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, semalam 531 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 499 individu dikompaun manakala 32 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis, majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja/menjalani ujian saringan dan membawa penumpang berlebihan,” katanya.

Bagi Operasi Pematuhan, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas 2,568 kilang, 16,960 premis perniagaan, 900 tapak pembinaan dan 379 asrama penempatan pekerja.

“Sebanyak 56 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.