
Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan QL Farm di Membalua, Tawau, Kampung Pikat di Bongawan, Papar dan tiga kawasan di Kota Kinabalu, iaitu Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya.
Beliau berkata, 13 kes positif dikesan di QL Farm, Kampung Pikat (15 kes), Kampung Suang Parai (22 kes), Taman Kingfisher Sulaman (11 kes) dan Bandaran Berjaya (17 kes).
Katanya, PKPD di Kampung Jawi-Jawi di Kota Belud yang sepatutnya tamat esok, akan dilanjutkan sehingga 25 Julai ini kerana jangkitan masih berlaku di kawasan terbabit.
Ismail berkata, PKPD di kawasan sekitar Bandar Jerantut di Pahang, Kampung Tuunon di Penampang, Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan di Kota Belud serta Kampung Perpaduan Ria 1 di Kudat akan ditamatkan mengikut jadual esok.
Di Kuala Lumpur, katanya, PKPD di Flat Seksyen 1 dan 2 Wangsa Maju, Kampung Puah, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1) akan ditamatkan lebih awal daripada jadual pada esok.
“Bagi Taman Koperasi Polis (Fasa 2) , PKPD dan saringan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 417 individu ditahan kerana mengingkari SOP perintah kawalan pergerakan semalam, dengan 408 daripadanya dikompaun dan sembilan lagi direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (96), tidak memakai pelitup muka (74), tiada penjarakan fizikal (58), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (46), membawa penumpang berlebihan (34), premis gagal patuhi arahan (12), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja/menjalani ujian saringan (6) dan lain-lain (91).
Katanya, seorang pendatang asing tanpa izin ditahan, dengan dua kenderaan darat serta dua bot/kapal turut dirampas dalam Operasi Benteng semalam.