
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Azhar Hashim berkata dalam satu operasi di Kampung Kubang Tiga 12.30 pagi tadi, pihaknya menemui satu tan daun ketum yang diisi dalam 20 guni berwarna putih dan 19 bungkusan plastik hitam, dalam sebuah pondok usang.
“Kita percaya sindiket ini sudah agak lama beroperasi, antara tiga ke enam bulan melihat kepada keadaan daun yang agak layu tersimpan lama di dalam pondok sebagai tempat transit pemunggahan.
“Bekalan dipercayai dari Kedah dan permintaan agak tinggi di negara jiran menyebabkan mereka (penyeludup) akan sentiasa mencuba untuk seludup daun ketum ke pasaran negara jiran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata dalam satu operasi lain di Kampung Melayu jam 4 pagi tadi, pasukannya merampas empat guni daun ketum yang cuba diseludup melalui laluan keselamatan PGA seberat 120kg, bernilai RM3,600, yang dilonggokkan di pagar sempadan.
Azhar berkata kejayaan dalam dua operasi itu membuktikan penyeludup semakin terdesak berikutan harga pasaran daun ketum ketika ini mencecah RM150 sekilogram, namun pihaknya akan terus berusaha mengekang aktiviti penyeludupan.
Semua hasil rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, katanya.