Jemaah Menteri kekal sokong Muhyiddin

Jemaah Menteri kekal sokong Muhyiddin

Jemaah Menteri berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

PETALING JAYA:
Jemaah Menteri sebulat suara kekal menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, di sebalik tindakan Umno menarik balik sokongan kepada beliau.

Dalam kenyataan bersama, Jemaah Menteri berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

“Ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Jemaah Menteri berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, “sekali gus membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.”

Khamis lalu, Umno memutuskan untuk menamatkan sokongannya kepada Muhyiddin dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera atas tujuh “kegagalan” termasuk pengurusan lemah kerajaan pimpinannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, yang diumumkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, setakat ini tidak memberi kesan kepada kedudukan ahli Jemaah Menteri parti itu, termasuk Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri minggu lalu.

Polemik mengenai sokongan Umno kepada Muhyiddin mencetuskan perbalahan dalaman parti itu dengan beberapa pemimpin lantang menolak keputusan MKT.

Isu itu juga menyebabkan hubungan tegang antara Umno dan PAS. PAS kini muncul sebagai sekutu utama Muhyiddin dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.