Datuk Seri ahli Geng 24 antara 20 diberkas terlibat ceti haram

Datuk Seri ahli Geng 24 antara 20 diberkas terlibat ceti haram

Susulan tangkapan itu polis merampas 11 kenderaan mewah antaranya Toyota Vellfire, BMW, Mercedes-Benz dan Honda.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 59 tahun ditahan sekitar negeri ini 7 Julai lalu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang juga ahli kongsi gelap terbesar di Pulau Pinang, iaitu Geng 24 antara 20 individu diberkas polis selepas terbabit kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen.

Susulan tangkapan itu, polis merampas 11 kenderaan mewah antaranya Toyota Vellfire, BMW, Mercedes-Benz dan Honda.

Turut dirampas 36 telefon bimbit, 64 keping kad bank, 22 set kad perniagaan, wang tunai berjumlah RM24,520, sembilan utas jam tangan dan tujuh unit barang kemas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 59 tahun ditahan sekitar negeri ini 7 Julai lalu.

Katanya, semua tangkapan terdiri daripada dua kumpulan manakala seorang lagi bergerak sendiri.

“Kumpulan pertama melibatkan 15 orang, diketuai seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 59 tahun. Kumpulan kedua terdiri daripada empat orang diketuai lelaki berusia 25 tahun.

“Manakala, tangkapan terakhir seorang lelaki yang bergerak sendiri berusia 36 tahun,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan awal mendapati Datuk Seri itu ahli Geng 24 dan kegiatan utama mereka adalah perjudian, dadah, pelacuran serta pemerasan.

Kumpulan itu memiliki senjata api dan modus operandi mereka menawarkan pinjaman dengan mengenakan faedah tinggi antara 30 hingga 50% sebulan.

“Transaksi pinjaman dikenakan antara RM1,000 hingga RM100,000 yang menggunakan akaun sendiri, keluarga atau rakan peminjam.

“Kumpulan ini mampu memperoleh keuntungan sehingga setengah juta ringgit setiap bulan hanya dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.