Malaysia selayaknya dapat kerajaan lebih baik, kata Rafidah

Malaysia selayaknya dapat kerajaan lebih baik, kata Rafidah

Bekas menteri Rafidah Aziz berkata kerajaan PN cuba sedaya upaya untuk kekal berkuasa tetapi menggagau-gagau menguruskan wabak dan ekonomi.

PETALING JAYA:
Bekas menteri Rafidah Aziz sekali lagi membidas kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dengan berkata, rakyat layak mendapat pemerintah yang lebih bagus daripada pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, keadaan negara yang menyedihkan sekarang ini adalah kerana ketakcekapan kerajaan Muhyiddin yang tidak dipilih rakyat sebaliknya terbentuk melalui “pintu belakang”.

Katanya, PN tidak mempunyai manifesto tentang tadbir urus negara. Beliau juga membidas pendekatan gabungan itu dalam mengurus negara.

Beliau menambah bahawa kerajaan mencuba sedaya upaya untuk kekal berkuasa tetapi “menggagau-gagau” mengurus wabak Covid-19 dan ekonomi.

Rafidah menyenaraikan banyak kelemahan kerajaan ketika ini, antaranya percanggahan sesama sendiri, berat hati memanggil untuk Parlimen bersidang kerana bimbangkan usul tidak percaya dan soalan tentang pelbagai masalah rakyat yang pasti timbul.

“Betapa terasingnya Jemaah Menteri yang sangat besar ini kepada hakikat di lapangan dan ketidakmampuannya menugaskan timbalan menteri yang banyak itu. Jika dibuat penilaian, kerajaan ini yang beberapa kali menunjukkan ia tidak cekap boleh dikatakan gagal.

“Malah, dalam keadaan paling teruk pun, kerajaan yang cekap, mempunyai asas yang baik dan bertanggungjawab akan dapat mengemudi negara mengharungi masa sukar.

“Malaysia selayaknya mendapat kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan ‘pintu belakang’ yang gagal,” katanya.

Semalam, Malaysia melaporkan 11,079 kes Covid-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah meramalkan angka itu akan bertambah dalam dua minggu akan datang.

Di media sosial, terdapat warganet yang memuatnaik slogan seperti “kerajaan gagal”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.