Masih ada peluang suara pandangan pada sidang seterusnya, kata Kiandee

Masih ada peluang suara pandangan pada sidang seterusnya, kata Kiandee

Katanya, sidang parlimen yang akan diadakan pada 26 Jul nanti adalah sidang khas yang tertakluk kepada peraturan mesyuarat dengan perbahasan dalam sidang itu juga ditentukan perdana menteri.

Kiandee (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, di Putatan, hari ini.
PUTATAN:
Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee berkata, setiap Ahli Parlimen berpeluang menyuarakan apa jua pandangan mereka terhadap kerajaan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung pada Sept dan Okt nanti.

Katanya, sidang Parlimen yang akan diadakan pada 26 Jul nanti adalah sidang khas yang tertakluk kepada peraturan mesyuarat dengan perbahasan dalam sidang itu juga ditentukan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Sidang kali ini adalah sidang khas yang dipanggil perdana menteri, tentu dalam sidang khas ianya tertakluk kepada peraturan mesyuarat, perbahasan tertakluk kepada urusan mesyuarat yang ditentukan oleh perdana menteri.

“Jadi, perdana menteri meletakkan sidang khas kali ini untuk membincangkan beberapa perkara dan juga kementerian yang berkaitan dengan pengurusan Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas meninjau jeti dan Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pihak pembangkang yang dilihat tidak berpuas hati dengan sidang Parlimen 26 Jul ini yang akan diadakan tanpa pembentangan usul.

Mengulas lanjut, Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan
berkata, parlimen akan bersidang seperti biasa pada Sept dan Okt nanti untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen berbahas.

“Telah dijadualkan oleh kerajaan dan telah pun disiarkan akan ada dua sidang selepas itu yang memberi ruang sidang biasa.

“Setiap Ahli Parlimen akan diberi ruang untuk menyuarakan apa juga pandangan terhadap kerajaan dan ruang yang akan dibentangkan kerajaan dalam sidang kedua dan ketiga yang dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya mengeluarkan lebih 100,000 surat kebenaran bergerak kepada nelayan, petani dan penternak sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, langkah itu dibuat bagi menjamin bekalan makanan negara sentiasa mencukupi untuk rakyat dan mereka yang diberikan kebenaran di seluruh negara itu harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Mereka yang diberi kebenaran ini kita kategorikan sebagai sektor informal yang diberi kebenaran kepada kementerian untuk pengesahan pergerakan, ini berbeza dengan sektor industri agro makanan yang (surat kebenaran) dikeluarkan oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Sektor industri itu MITI, sektor informal bagi individu terlibat sebagai nelayan, petani dan penternak itu dikeluarkan oleh MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan)…ini penting bagi memastikan bekalan makanan kita tidak terganggu sepanjang pandemik dan kawalan pergerakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.