PKPD di 8 lokaliti di Sabah, Sarawak mulai Khamis

PKPD di 8 lokaliti di Sabah, Sarawak mulai Khamis

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di semua lokaliti itu mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

KUALA LUMPUR:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di enam lagi lokaliti di Sabah dan dua lokaliti di Sarawak bermula Khamis ini hingga 4 Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PKPD di Sabah melibatkan empat lokaliti di Kota Kinabalu, iaitu Kilang Papan Lusera Telipok, Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progressif Perwira, Kampung Sinulihan serta University Utama Condominum Fasa 2, dan Kampung Guruh-Guruh di Sipitang serta Kampung Air dan Kampung Bokara di Sandakan.

“Dua lokaliti di Sarawak pula melibatkan dua kampung di Kuching, iaitu Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang.

“Pelaksanaan PKPD di semua lokaliti ini mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKPD di Kampung Sri Menanti di Tawau serta Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya di Perkampungan Kepulauan Gaya, Kota Kinabalu yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan mulai Khamis ini hingga 4 Ogos.

Ismail turut mengumumkan kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua perkampungan Orang Asli di Rompin, Pahang, iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang seperti dijadualkan esok.

Sementara itu, 38 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP dalam pemeriksaan serta “snap check” atau pemeriksaan mengejut yang dilaksanakan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan semalam.

Katanya, 388 individu ditahan semalam kerana mengingkari SOP, dengan 355 daripadanya dikompaun, 31 lagi direman dan dua dijamin, sementara menerusi Op Benteng pula, 19 pendatang tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.