Sinovac, Pfizer sama berkesan rawat Covid-19, kurangkan kadar kematian

Sinovac, Pfizer sama berkesan rawat Covid-19, kurangkan kadar kematian

Dr Noor Hisham memetik laporan New England Journal of Medicine bahawa penggunaan Sinovac berjaya mengurangkan kadar jangkitan sehingga 65.9% dan kadar kematian 86.3%.

PETALING JAYA:
Data perubatan menunjukkan keberkesanan vaksin Sinovac dan Pfizer terhadap Covid-19 adalah seimbang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkongsi laporan yang dikeluarkan oleh New England Journal of Medicine mengenai penggunaan vaksin Sinovac terhadap penduduk Chile.

Menerusi hantaran di Facebook, Hisham berkata, kedua-dua vaksin berkenaan sangat berkesan untuk mencegah Covid-19 Kategori 4 dan 5 iaitu mereka yang dimasukkan ke hospital dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun ia kurang berkesan terhadap pesakit bergejala ringan atau tanpa gejala,” katanya.

Laporan berkenaan menyebut, penggunaan Sinovac berjaya mengurangkan kadar jangkitan sehingga 65.9%, kadar hospitalisasi (87.5%), kemasukan ke wad unit rawatan rapi (90.3%) dan kadar kematian 86.3%.

Kajian itu dijalankan terhadap 4.2 juta penduduk yang sudah divaksin berbanding 5.5 juta yang belum menerima vaksinasi antara Feb hingga Mei.

Ia berbeza dengan ujian Pfizer, di mana daripada 218,784 individu yang positif Covid-19 di negara itu, hanya 170 kes dijadikan sebagai kajian kes dengan lapan divaksin manakala 162 lagi tidak divaksin yang menunjukkan kadar keberkesanan sehingga 95%.

Keberkesanan terhadap suntikan vaksin Sinovac menjadi pertikaian pelbagai pihak selepas Putrajaya memutuskan untuk menggantikan penggunaan vaksin buatan China itu baru-baru ini.

Pakar perubatan tempatan pula membidas dengan menjelaskan semua vaksin termasuk Sinovac memberikan perlindungan yang mencukupi terhadap penyakit serius atau kematian akibat Covid-19.

Bagaimanapun, ia memberikan perlindungan yang sedikit lebih rendah terhadap varian Delta, tetapi berupaya mencegah penyakit serius yang disebabkan oleh varian Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.