PKPD di Seremban tamat esok

PKPD di Seremban tamat esok

Ismail turut memaklumkan penamatan PKPD turut membabitkan beberapa lokaliti di Pahang, Kelantan dan Sabah.

PKPD di Seremban ditamatkan esok.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di seluruh Seremban, Negeri Sembilan, ditamatkan esok selepas 14 hari dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, turut memaklumkan penamatan PKPD membabitkan beberapa lokaliti di Pahang, Kelantan dan Sabah.

Ia membabitkan Kuarters Pekerja Malaysia-China Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan, Pahang; Taman Kurnia Jaya, Taman Pinggiran Golf di Kota Bharu, Kelantan; Kampung Sungai Imam, Tawau; Kampung Lembising, Kampung Dumpil Keramat, di Putatan; Kampung Balibata, Beaufort dan Kampung Pintasan, Kota Belud, Sabah.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan, beberapa lagi lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan PKPD bermula 23 Julai hingga 5 Ogos.

Ia membabitkan Taman Merpati, Sandakan, Sabah; Felda Jengka 12, Jerantut, Kampung Belangkap, Rompin dan Kampung Orang Asli Ruai, Batu Talam, Raub, Pahang.

Sementara itu, pelaksanaan PKPD di Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan dan Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, dilanjutkan hingga 5 Ogos ini.

Ismail turut memaklumkan, semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 68,921 pemeriksaan dan pemeriksaan mengejut Covid-19 di seluruh negara bersama jumlah kekuatan anggota seramai 18,351 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,556 kilang, 11,369 premis perniagaan, 416 tapak pembinaan dan 145 asrama penempatan pekerja. Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 25 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan.

Dalam tempoh sama, polis menahan 420 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 332 dikompaun, 82 direman, manakala enam lagi individu dijamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.