
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 41 tahun, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
“Mangsa telah berkenalan dengan suspek lelaki Melayu berusia 26 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Datuk Seri’ menawarkan tender projek pembersihan DBKL.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar 1% daripada nilai harga tender projek sebagai cagaran,” katanya dalam kenyataan.
Eng Lai berkata, mangsa memaklumkan telah memindahkan sejumlah wang sebanyak RM18,100 ke dalam akaun peribadi suspek, namun selepas itu suspek memberikan pelbagai alasan apabila ditanya soal tawaran projek sebelum gagal dihubungi.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara selama tempoh satu tahun hingga 10 tahun dan dikenakan sebat.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dan sentiasa berhati-hati dengan segala bentuk tawaran projek.
“Sebagai langkah pencegahan, anda boleh membuat semakan awal dengan agensi terlibat dahulu untuk membuat pengesahan sama ada projek tersebut wujud atau sebaliknya.
“Orang ramai juga boleh menghubungi CCID RESPONSE CENTRE melalui talian 03-26101559/1559 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil,” katanya.