SST buat masa ini merangkumi 38% barangan dan perkhidmatan, manakala GST, ketika ia dilaksanakan, meliputi 68%.
Bekas presiden Institut Cukai Berkanun Malaysia, Veerinderjeet Singh, berkata kerajaan secara teorinya akan dapat mengumpul lebih banyak hasil jika skop SST diperluas.
GST patut dilaksanakan semula “pada satu masa nanti”, tambahnya.

“Buat masa ini, selain memperluas skopnya, kita harus memastikan kita efisien dalam hal penguatkuasaan, dan memastikan tahap kepatuhan tinggi,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas seruan Firdaos Rosli, pakar ekonomi kanan di Malaysian Rating Corporation Bhd, agar GST diperkenalkan semula dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Firdaos mengusulkan pengenalan semula GST kerana lebih ramai penduduk Malaysia akan meningkat tua. Dengan lebih ramai orang bersara, dan tiada cukai langsung dikenakan terhadap golongan pesara, hasil cukai akan susut, tambahnya.
Namun, kata Veerinderjeet, pengenalan semula ini dapat dilakukan dalam masa tiga tahun dengan menukar SST menjadi GST.
GST, katanya, adalah “evolusi yang logik” bagi SST.
Pemilihan masa yang tepat bagi melaksanakan GST adalah penting, katanya.
Langkah memansuhkan GST sebelum ini silap, katanya, namun beliau mengakui, ia “bukan penyelesaian bagi segalanya”.
Beliau berkata, isu yang berkaitan adalah bagaimana negara mentadbir sistem percukaiannya untuk meningkatkan kutipan hasil kerajaan.
“Ini mengenai kecekapan cukai berkenaan, sama ada kita boleh perluas skopnya, pertingkat kadarnya dan melaksanakannya. Jika kita buat demikian dengan sistem percukaian sedia ada, ia dapat membantu meningkatkan kutipan hasil,” katanya.
Beliau berkata, penyokong GST silap jika mereka fikir cukai berkenaan membawa hasil lumayan.
Walaupun sistem semak dan imbang yang terbina dalam GST membolehkan pihak berkuasa menguruskan cukai ini lebih baik dari segi audit dan pengesanan, katanya, ini tidak bermaksud ia “membawa keuntungan begitu sahaja”.

Ahli ekonomi Wong Koi Nyen daripada Universiti Sunway bersetuju dengan Firdaos, dengan berkata Malaysia masih sebuah ekonomi yang memerlukan tenaga kerja.
Katanya, populasi penduduk dalam usia pekerjaan yang semakin menyusut akan menyebabkan daya pengeluaran dan pendapatan buruh yang rendah, dan seterusnya akan memberi impak negatif terhadap hasil cukai langsung.
Namun, beliau bersetuju dengan Veerinderjeet bahawa keadaan tidak mendesak agar GST diperkenalkan semula.
“Perlu tempoh beberapa dekad untuk melihat penyusutan 50% pada populasi penduduk dalam usia pekerjaan, dengan syarat kadar kesuburan juga menjunam dari semasa ke semasa,” katanya.
Wong berkata, GST patut diperkenalkan semula secara berfasa, dimulai dengan kadar 3%.
“Ini pendekatan ‘soft landing’, bertujuan untuk mengurangkan isu-isu kecil yang menghantui GST, seperti inflasi dan penyesuaian struktur,” katanya.