Mineral kritikal: Malaysia tekan penglibatan kukuh syarikat domestik

Mineral kritikal: Malaysia tekan penglibatan kukuh syarikat domestik

Menteri Luar Mohamad Hasan ketika hadir mesyuarat antarabangsa berkait mineral kritikal di Washington DC berkata mahu menarik pelaburan jangka panjang.

mohamad hasan tok mat
Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata mineral kritikal semakin penting bagi aktiviti perindustrian dan kemajuan teknologi dalam ekonomi global. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia memberi penekanan terhadap usaha menarik pelaburan jangka panjang dan berorientasikan nilai dalam sektor mineral kritikal bagi memperkukuh penciptaan nilai serta pembangunan huluan, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ini termasuk pelaburan menyokong aktiviti pemprosesan serta penglibatan lebih kukuh oleh syarikat domestik.

“Malaysia melihat mineral kritikal sebagai pemboleh yang semakin penting bagi aktiviti perindustrian dan kemajuan teknologi dalam ekonomi global. Kami mengakui keperluan terhadap pengaturan bekalan yang boleh dipercayai dan diyakini.

“Justeru, Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi bergerak melangkaui peranan sebagai pengekstrak semata-mata, sebaliknya ke arah tahap penciptaan nilai lebih tinggi yang berdaya maju secara komersial dan mampan untuk jangka panjang,” kata beliau dalam intervensinya pada Mesyuarat Peringkat Menteri mengenai Mineral Kritikal di Washington DC pada 4 Feb .

Justeru, Mohamad berkata, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan, institusi kewangan pembangunan, dan sektor swasta menggerakkan modal, teknologi serta kepakaran melalui pengaturan komersial yang berdaya maju.

Beliau berkata, kerjasama sedemikian akan membantu menterjemah potensi kepada bekalan yang boleh diyakini selain menyokong pembangunan perindustrian yang lebih luas.

Beliau menegaskan, pendekatan pragmatik kekal penting dan Malaysia akan terus mempromosikan persekitaran kondusif serta mesra pelaburan, selain komited terlibat secara konstruktif dengan semua rakan kongsi dalam menyokong rantaian bekalan global berdaya tahan.

“Sebagai sebahagian rantaian bekalan mineral kritikal global, Malaysia mengiktiraf kepentingan bersama semua negara dalam memastikan rantaian bekalan yang stabil dan boleh dipercayai,” katanya sambil menambah bahawa jaminan bekalan mineral yang mampan adalah tanggungjawab bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.