
Pengarah Program Parlimen Wanita Muda, Shatesh Kumar Sangar berkata, program hasil inisiatif Malaysia Young Generation (MYGEN) itu akan diadakan dalam talian pada 14 dan 15 Ogos ini.
Beliau berkata, ia akan disertai perwakilan berumur 15 sehingga 30 tahun, termasuk beliawanis, pelajar, wakil Orang Asli, orang kelainan upaya dan aktivis wanita untuk membincangkan isu berkaitan hal ehwal wanita, kesaksamaan gender serta masalah sosial.
Katanya, 12 Ahli Parlimen dan bekas senator, termasuk Nurul Izzah Anwar, Mas Ermieyati Samsudin, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yeo Bee Yin dan Heng Seai Kie akan turut serta dalam program “mentoring” menerusi beberapa siri webinar.
“Pihak sekretariat turut menerima permohonan daripada OKU pekak yang berminat menjadi pembahas dan persidangan ini akan menggunakan khidmat jurubahasa isyarat,” katanya dalam kenyataan.
Shatesh berkata, wanita harus diberikan peranan lebih penting dalam politik, bukan sekadar menjadi peraih undi semasa pilihan raya.
Katanya, semua sayap Wanita wajib mendesak parti politik masing-masing memberikan sekurang-kurangnya 40% daripada jumlah kerusi kepada mereka.
“Jika perkara ini tidak dipenuhi, maka sayap Wanita tidak perlu bantu parti dalam kempen pilihan raya akan datang.”
Program itu diadakan susulan Laporan Indeks Jurang Gender Global 2020 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia menyaksikan Malaysia di kedudukan 117 daripada 152 negara untuk pembabitan wanita dalam politik.