Bawa teropong ke Dewan Rakyat, Maszlee curi tumpuan warganet

Bawa teropong ke Dewan Rakyat, Maszlee curi tumpuan warganet

Ia susulan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali mengangkat plakad dengan tulisan begitu kecil ketika membahaskan isu kluster kilang ketika sesi penggulungan.

Tindakan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, membawa teropong ke Dewan Rakyat mendapat perhatian warganet. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Ciapan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik di Twitter yang menunjukkan beliau membawa binokular atau teropong ke Dewan Rakyat pagi ini mencuri tumpuan warganet, yang kebanyakannya mengaitkan perkara itu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali.

“Tak sangka satu hari nanti binokular menjadi satu perkara asas dalam Parlimen. Siapa tahu lebih ramai menteri akan membawa plakad dengan tulisan yang begitu kecil bersama mereka,” katanya di Twitter.

Semalam, Azmin (Bersatu-Gombak) ketika membahaskan isu kluster kilang pada sesi penggulungan mengangkat plakad mengandungi fakta berhubung kes positif Covid-19 membabitkan sektor perkilangan dan pembuatan.

Majoriti Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kewajaran Azmin mengangkat plakad dengan tulisan begitu kecil, malah ia tidak boleh dibaca atau dilihat dari kedudukan pihak pembangkang.

Warganet dengan nama “MoschinoUomo” mempersoalkan kemudahan atau fasiliti di Dewan Rakyat ketika negara sedang menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

“Dewan Parlimen besar-besar macam itu tiada projektor ke untuk pembentangan… negara kita kan nak menuju ke IR4.0,” katanya.

Pengguna, “Along Official” pula mengaitkan ciapan berkenaan dengan Azmin.

“Bayangkan menteri yang pegang manila kad tu handle (urus) pelaburan ekonomi negara kita,” katanya, sementara pengguna “Speckysynth” pula percaya binokular berkenaan masih tidak mampu “melihat” perkataan yang ada di plakad terbabit.

Sementara itu, pengguna Zubair Halim mencadangkan semua Ahli Parlimen yang berhasrat menggunakan plakad supaya mengedarkan dokumen berkenaan terlebih dahulu kepada ahli Dewan Rakyat.

“Suruh Ahli Parlimen hantar dokumen PDF menerusi emel siap-siap. Nanti boleh rujuk dekat laptop,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.