
Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mencari alternatif, selain penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mendepani penularan kes positif Covid-19.
“Saya ingat surat kebenaran beroperasi MITI dihentikan dulu. MITI bagi surat beroperasi tapi apakah jaminan bahawa surat ini mengekang jangkitan virus (Covid-19) daripada menular?
“Boleh atau tidak kementerian melaksanakan dasar dan SOP baharu? Jadikan sesiapa yang nak rentas negeri atau nak pergi kerja, mesti ada satu pasport, bukan surat MITI tapi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sekurang-kurangnya tunjuk sudah ada RTK, nak pergi kilang sudah ada ujian RTK. Ikut MITI mereka fikir pasal kilang tapi bagi saya untuk ini jangan tengok kilang sahaja – perhotelan, usahawan kecil, gerai macam mana nak buka,” katanya dalam sidang khas Parlimen, ketika membahaskan ucapan Menteri Kesihatan.
Beliau berkata, kerajaan juga boleh menggunakan pendekatan ujian RTK Antigen (RTK-Ag) sebagai pasport perjalanan bagi setiap individu di negara ini untuk bergerak.
“Kalau kita boleh buat SOP baharu dan kekalkan SOP sedia ada, maka boleh bergerak dan buka hotel tapi mesti ada pasport.
“Saya nak merayu kepada kerajaan untuk subsidikan ujian RTK ini. Saya nak cadang supaya buat pendekatan baharu selain kita terus mengamalkan pemakaian pelitup mulut dan hidung,” katanya.
Noh turut menegur kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya bekerjasama dengan Putrajaya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan tidak perlu “tunjuk hebat” kononnya mampu menyelesaikan isu sendiri.
“Ada beberapa negeri macam Selangor nak tunjuk pandai juga, nak ‘resolve’ masalah. Jangan tunjuk pandai, kena kerjasama,” katanya.