Tak cukup data untuk guna Ivermectin rawat Covid-19, kata pakar

Tak cukup data untuk guna Ivermectin rawat Covid-19, kata pakar

Penggunaan luar label ubat antiparasit berkenaan berisiko membawa kesan negatif jika digunakan secara meluas.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, doktor mungkin berdepan tuntutan saman jika pesakit Covid-19 mengalami kesan sampingan atau keadaan mereka semakin buruk selepas dirawat dengan Ivermectin. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Tidak cukup data yang diyakini untuk menunjukkan manfaat penggunaan luar label Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19, malah ubat antiparasit itu berisiko membawa kesan negatif jika digunakan secara meluas, kata pakar.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Dewan Rakyat mahu penggunaan Ivermectin diluluskan segera sebagai rawatan untuk Covid-19.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) tidak menyokong penggunaan Ivermectin kerana data tidak mencukupi.

Beliau menegaskan, tumpuan sepatutnya diarahkan kepada usaha melonjakkan vaksinasi yang sudah terbukti dapat mengelakkan pesakit dirawat di hospital, selain menghindari kematian.

Dr Lee Boon Chye.

“Apa yang dikatakan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) berkenaan Ivermectin adalah sama ada doktor dibenarkan membuat keputusan sendiri untuk menggunakan ubat berkenaan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Beliau mengutarakan isu ini bagi pihak doktor yang yakin tahap keberkesanan ubat itu dengan merujuk kepada beberapa kajian,” katanya kepada FMT.

“Saya hormati hak beliau membangkitkan isu berkenaan bagi pihak doktor. Bagaimanapun saya bersetuju dengan pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menunggu lebih banyak bukti daripada ujian klinikal yang sedang berlangsung sebelum memberi kelulusan.”

Selain Sivarasa, Ahli Parlimen pembangkang lain yang menyokong kelulusan penggunaan ubat berkenaan adalah Mohamad Sabu (Kota Raja), Khalid Samad (Shah Alam), Johari Abd Ghani (Sungai Petani), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), William Leong (Selayang) dan P Prabakaran (Batu).

Menurut mereka, India dan Filipina berjaya menggunakan ubat berkenaan bagi mengurangkan jangkitan tanpa sebarang kesan sampingan dilaporkan. Bagaimanapun kedua-dua negara berkenaan tidak pernah secara rasmi mengumumkan penggunaannya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba kekal dengan pendirian untuk menunggu lebih banyak data berhubung Ivermectin.

Lee turut memberi amaran bahawa doktor perlu menanggung risiko penggunaan ubat berkenaan untuk merawat pesakit Covid-19 memandangkan pengeluarnya tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang risiko berkaitan penggunaan luar labelnya.

“Dalam amalan, apabila doktor menggunakan Ivermectin untuk (rawatan) Covid-19, mereka mungkin berdepan tuntutan saman jika pesakit mengalami kesan sampingan atau keadaan mereka semakin buruk selepas menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, Ivermectin tidak pernah dibuktikan berkesan untuk rawatan Covid-19, walaupun petunjuk awal mendapati ia mungkin boleh membantu merencatkan jangkitan.

Dr Subramaniam Muniandy.

Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy juga memberi amaran bahawa penggunaan Ivermectin sebagai ubat yang “murah dan secara relatifnya, selamat” adalah kurang bernas yang akan menyebabkan rakyat enggan mendapatkan vaksin.

Subramaniam berkata, kajian setakat ini hanya menunjukkan keberkesanan Ivermectin merencat virus berkenaan di dalam makmal pada kepekatan yang tinggi, justeru berisiko membawa kepada kematian dan tidak selamat bagi manusia dalam aplikasi kehidupan sebenar.

Tambahnya, beberapa kajian turut menunjukkan keadaan pesakit Covid-19 merosot sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan selepas dirawat dengan Ivermectin.

“Salah satu kajian terbesar yang menunjukkan kesan positif penggunaan Ivermectin telah ditarik balik kerana dibimbangi berlakunya penipuan.

“Selain itu, risiko rendah bukan bermaksud tiada risiko. Jika Ivermectin digunakan secara meluas akan timbul kesan buruk,” katanya.

Azrul Mohd Khalib.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib memetik hasil kajian Agensi Perubatan Eropah dan Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat bahawa Ivermectin tidak disyorkan bagi merawat Covid-19.

“Saya faham permintaan bagi ubat pencegahan berkos rendah,” katanya.

“Bagaimanapun, selain kajian kecil mendapatinya sedikit berkesan untuk merendahkan kandungan virus dan menyingkatkan tempoh gejala dalam kalangan pesakit Covid-19 bergejala ringan, Ivermectin tidak menunjukkan sebarang manfaat terapeutik bagi mereka yang mengalami gejala lebih berat (Kategori 3, 4 dan 5).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.