Pematuhan SOP, tingkat kadar vaksinasi kunci utama kekang Covid-19 di Sabah, kata Masidi

Pematuhan SOP, tingkat kadar vaksinasi kunci utama kekang Covid-19 di Sabah, kata Masidi

Kaedah ‘lockdown' atau perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) bukan lagi satu-satunya jalan penyelesaian bagi mengekang virus di negeri itu.

Masidi berkata apa yang lebih membimbangkan apabila penduduk di Sabah kini agak lesu kerana terkurung dengan ‘lockdown’ dan PKPD hingga mungkin menyebabkan mereka lalai untuk mematuhi SOP secara keseluruhan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam komuniti dan meningkatkan kadar vaksinasi kepada penduduk merupakan kunci utama bagi ‘memerangi’ pandemik Covid-19 di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap rasmi kerajaan Sabah berkenaan Covid-19 berkata kaedah ‘lockdown’ atau sekatan pergerakan terutama perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) bukan lagi satu-satunya jalan penyelesaian bagi mengekang virus di negeri itu.

“Apabila virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti, setiap individu berpotensi menjadi pembawa dan penyebar virus, justeru mengehadkan pergerakan mereka tanpa SOP atau vaksin dalam ‘lockdown’ dan PKPD boleh mengundang peningkatan kes,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata melalui peningkatan kadar vaksinasi penduduk akan membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok dan penguatkuasaan pematuhan SOP terbukti lebih berkesan menurunkan jumlah jangkitan setiap hari dalam suasana jangkitan yang sudah berubah kepada jangkitan dalam komuniti kini.

“Pendekatan ini (patuhi SOP) sudah terbukti berkesan di tempat lain, apa yang perlu ialah bekalan vaksin yang cukup dan jadual penghantaran vaksin yang tidak terganggu,” katanya.

Masidi berkata apa yang lebih membimbangkan apabila anggota komuniti tidak menyedari mereka boleh menjadi pembawa virus, malah penduduk di Sabah kini agak lesu kerana terkurung dengan ‘lockdown’ dan PKPD hingga mungkin menyebabkan mereka lalai untuk mematuhi SOP secara keseluruhan.

“Tidak kira kita sudah divaksin atau belum setiap daripada kita berpotensi menjadi pembawa virus, malah kita boleh menjangkiti orang di sekeliling walaupun kita berada dalam ‘lockdown’ atau PKPD. Dahulu ‘lockdown’ berkesan kerana jangkitan dalam kawasan terhad, sekarang jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Ditanya lanjut tentang situasi virus dalam komuniti di Sabah, beliau berkata ini dapat dilihat jelas apabila saringan secara besar-besaran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati bahawa kontak rapat didapati menyumbang kumpulan tertinggi jangkitan kes harian sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau berkata untuk semalam sahaja 640 kes atau 60.04% daripada keseluruhan 1,066 kes positif Covid-19 dikesan daripada kontak rapat dan situasi ini membimbangkan kerana kontak rapat ini mempunyai jaringan rakan dan keluarga yang berpotensi untuk mereka jangkiti.

Mengulas mengenai kapasiti vaksinasi Sabah, Masidi berkata JKNS kini mempunyai kapasiti pemberian vaksin mencapai 50,000 dos sehari dan sedang berusaha meningkatkan kapasiti itu kepada 60,000 dos sehari bergantung kepada bekalan vaksin diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.