Mayat lelaki dihanyut ‘kepala air’ di Sungai Cerul ditemui

Mayat lelaki dihanyut ‘kepala air’ di Sungai Cerul ditemui

Mayat mangsa timbul ke permukaan air selepas pasukan penyelamat melakukan teknik pusaran di permukaan air menggunakan bot.

Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian pada 5.15 petang. (Gambar Bomba)
CHUKAI:
Lelaki yang dihanyutkan arus deras atau “kepala air” ketika mandi di Sungai Cerul, Bandar Baru Cheneh dekat sini pada Sabtu ditemui lemas petang semalam.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata, Mohamad Shafiq Ab Llah, 20, ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dalam keadaan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian pada 5.15 petang.

“Mayat mangsa timbul ke permukaan air selepas pasukan penyelamat melakukan teknik pusaran di permukaan air menggunakan bot.

“Mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Petang Sabtu, Mohamad Shafiq bersama dengan lima rakannya yang berusia lingkungan 13 hingga 20-an mandi dan memukat ikan di Sungai Cerul sebelum mangsa dihanyutkan arus deras manakala yang lain sempat menyelamatkan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.