Halang Ahli Parlimen, polis langgar perintah Dewan Rakyat, kata PH

Halang Ahli Parlimen, polis langgar perintah Dewan Rakyat, kata PH

PH turut menggesa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meletak jawatan kerana gagal melindungi hak Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen pembangkang diminta membuat laporan polis susulan sekatan terhadap mereka untuk ke Parlimen, semalam.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyelar tindakan pihak berkuasa menghalang Ahli Parlimen pembangkang memasuki Parlimen dengan menyatakan ia menyalahi undang-undang.

PH berkata, tindakan itu satu pelanggaran perintah yang dikeluarkan Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara, berdasarkan usul Menteri Dalam Negeri bertarikh 13 Julai 2020, sewaktu permulaan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat.

“Penting dijelaskan bahawa Parlimen sekarang masih berada dalam Penggal Ketiga oleh kerana tiada pewartaan proklamasi oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, memprorog penggal tersebut berdasarkan Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan mengugut dan menghalang Ahli Parlimen daripada menjalankan kuasa-kuasa seorang Ahli Parlimen yang sah di sisi undang-undang melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda,” katanya dalam kenyataan.

Justeru PH menggesa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, meletak jawatan kerana gagal melindungi hak Ahli Parlimen dan membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat oleh Ketua Polis Negara berlaku.

“Beliau telah gagal melindungi dan mempertahan hak Ahli-ahli Parlimen dan mesti meletakkan jawatan.”

Dalam pada itu, menerusi kenyataan bersama membabitkan Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP), PH juga meminta Ahli Parlimen membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan berkenaan untuk dibawa ke muka pengadilan.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang berarak ke Parlimen dalam protes meminta peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, mereka tidak berjaya memasuki pekarangan Parlimen kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang jalan masuk ke situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.