12 Senator PH kesal sidang Dewan Negara ditangguh

12 Senator PH kesal sidang Dewan Negara ditangguh

Rata-rata Senator Dewan Negara sudah divaksin dua dos dan sepatutnya Parlimen sudah menjadi tempat paling selamat untuk bersidang.

Senator Yusmadi Yusoff yang mewakili 12 Ahli Dewan Negara PH berkata, Parlimen selamat dijadikan tempat sidang kerana hampir 99% sudah divaksin.
KUALA LUMPUR:
Selepas sehari Ahli Parlimen pembangkang membuat protes meminta Dewan Rakyat dibuka, 12 Senator Pakatan Harapan (PH) hari ini berkumpul di hadapan bangunan Parlimen meminta sidang Dewan Negara dibuka.

Semua 12 Senator Dewan Negara itu juga menyatakan kekesalan dan kekecewaan mereka apabila Dewan Negara yang sepatutnya bersidang hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Jurucakap kepada 12 Senator Dewan Negara yang hadir hari ini, Yusmadi Yusoff berkata, rata-rata Ahli Dewan Negara sudah divaksin dua dos dan sepatutnya Parlimen sudah menjadi tempat paling selamat untuk bersidang.

“Pada pandangan kami sudah ikut semua aturan. Jumaat lalu sudah buat ujian swab Covid-19 semua. Parlimen selamat dijadikan tempat sidang kerana hampir 99% sudah vaksin,” katanya di luar bangunan Parlimen. Beliau turut khuatir penangguhan Dewan Negara ini mempunyai “unsur-unsur politik”.

Katanya, dengan notis yang singkat juga, beliau sangat kesal dengan penangguhan Dewan Negara.

Dalam pada itu, Yusmadi berkata, sebagai Ahli Dewan Negara yang merupakan dewan legislatif tertinggi, 12 Senator Dewan Negara PH bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa pembatalan Proklamasi dan Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat oleh pihak kerajaan secara tidak telus.

Katanya, pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat tanpa melalui kedua-dua dewan dan mendapat perkenan Agong adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

“Pihak kami juga menyatakan pendirian tegas kami untuk tidak bersetuju dengan sikap derhaka yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan yang membelakangi Titah Agong dan Majlis Raja-raja.

“Kami percaya Dewan Negara yang berfungsi sebagai semak dan imbang proses legislatif di negara ini perlu bebas daripada cengkaman pihak eksekutif yang tidak menghormati sistem demokrasi parlimen dan Raja berperlembagaan seperti diperuntukan di dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.

Yusmadi juha berkata, adalah wajar untuk Dewan Negara membetulkan kekhilafan yang berlaku di Dewan Rakyat apabila Proklamasi dan Ordinan dibatalkan oleh Kabinet tanpa melalui kedua-dua dewan.

Katanya, Ahli Dewan Negara menggesa agar titah Agong dilaksanakan bagi membolehkan Dewan Negara bersidang agar sama-sama dapat mencari solusi terhadap krisis Covid-19 demi kepentingan rakyat.

“Kami berbesar hati untuk bertemu dengan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim untuk berbincang bagaimana niat murni kami dapat kita sama-sama laksanakan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

12 Senator Dewan Negara yang hadir hari ini adalah pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff; anggota Kaukus Kesejahteraan Dewan Negara, Raj Munni; Jawatankuasa Majlis Senator Malaysia/ Wakil Orang Asal, Bob Manolan; anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Ismail Yusof dan anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Theodore Doughlas.

Senator Dewan Negara wakil negeri pula ialah Suresh Singh yang mewakili DUN Selangor, wakil Sarawak, Alan Ling Sie Kiong, wakil Sabah, Adrian Lasimbang, Yaakop Sapari (Wakil DUN Selangor), Ahmad Azam (Wakil DUN Negeri Sembilan), Lim Hui Ying (Timbalan Bendahari Kehormat Majlis Senator Malaysia/ Wakil DUN Pulau Pinang) dan Kesavadas Achyuthan Nair (Wakil DUN Negeri Sembilan).

Pada Sabtu lalu, dilaporkan Mesyuarat Khas Dewan Negara yang sepatutnya berlangsung hari ini hingga 5 Ogos ini ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan kelak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saranan tersebut dibuat setelah mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 daripada berlaku di Parlimen.

Hisham berkata, hasil saringan prapersidangan Dewan Negara ke atas 100 individu menggunakan ujian RT-PCR pada Sabtu mendapati sembilan kes positif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.