206 laporan polis berkait perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang diterima, kata KPN

206 laporan polis berkait perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang diterima, kata KPN

Satu kertas siasatan telah dibuka bagi semua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Isnin lalu, 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen bagi mendesak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet meletak jawatan.
PETALING JAYA:
Sebanyak 206 laporan diterima dari seluruh negara berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka Isnin lalu susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka bagi semua laporan diterima dan individu terlibat akan dipanggil bagi diambil keterangan untuk melengkapkan kertas siasatan.

Susulan itu katanya, polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan.

Pada Isnin, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul untuk berarak ke Parlimen dari Dataran Merdeka bagi menyuarakan protes dan meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri meletak jawatan.

Bagaimanapun, pergerakan semua Ahli Parlimen itu disekat anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berperisai antirusuhan yang menghalang mereka untuk bergerak ke Jalan Parlimen.

Acryl Sani berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada kelmarin lalu telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Beliau berkata, pada Ahad pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen kelmarin.

“Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.