Kanak-kanak perempuan setahun pencetus kluster di Tumpat

Kanak-kanak perempuan setahun pencetus kluster di Tumpat

Kluster berkenaan sudah menjangkiti 34 individu dengan 51 kontak rapat sudah disaring.

Selain itu, Kluster Kampung Tanah Lot Merchang di Terengganu dan Pahang membabitkan kes indeks mempunyai sejarah rentas negeri menghadiri majlis perkahwinan sudah menjangkiti 43 individu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun menjadi pencetus kluster Kampung Morak Palekbang, di Tumpat, Kelantan, yang kini menjangkiti 34 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks kluster berkenaan mempunyai gejala sejak 22 Julai lalu dengan kes dilaporkan positif empat hari kemudian.

“Sehingga kini seramai 51 kontak rapat sudah disaring Kementerian Kesihatan (KKM).

“Terdapat 35 kluster baharu dikesan KKM hari ini membabitkan 20 kluster komuniti, tempat kerja (14) dan aktiviti keagamaan (satu),” katanya dalam kenyataan.

Mengenai kluster lain dikesan hari ini, Hisham berkata, tiga kluster daripadanya membabitkan aktiviti ziarah, rentas negeri (dua) dan majlis pengebumian (satu).

“Bagi kluster ziarah ketika perayaan sehingga kini sudah menjangkiti seramai 92 individu.

“Kluster itu dikenali Kluster Kampung Changgong Melawi, Kluster Kampung Belimbing Jeli di Kelantan dan Kampung Belum Baru di Perak.

“Bagi dua kluster rentas negeri, ia dikenali Kampung Tanah Lot Merchang di Terengganu dan Pahang iaitu kes indeks mempunyai sejarah rentas negeri bagi menghadiri satu majlis perkahwinan dan sudah menjangkiti 43 individu,” katanya.

Beliau berkata, kluster kedua pula dikenali Kluster Samak Melintang di Perak yang sudah menjangkiti 14 individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.