MUDA pertahan Umno, minta JPPM perlu bebas dari campur tangan politik

MUDA pertahan Umno, minta JPPM perlu bebas dari campur tangan politik

Ketua Penerangannya Zaidel Baharuddin berkata, walaupun selama ini Umno adalah seteru namun atas dasar mempertahankan hak demokratik setiap rakyat Malaysia, JPPM perlu bebas dari tekanan politik.

Zaidel Baharuddin berkata pengumuman dibuat JPPM beberapa hari selepas pengumuman Umno menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional menimbulkan persoalan.
PETALING JAYA:
Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan, sebagai tidak sah dilihat seolah-olah ada campur tangan politik, kata MUDA.

Ketua Penerangannya, Zaidel Baharuddin berkata walaupun selama ini Umno adalah seteru namun atas dasar mempertahankan hak demokratik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kawan atau lawan, MUDA berpendirian bahawa JPPM wajib bebas dari tekanan dan pengaruh politik.

“Hari ini kita dikejutkan dengan pengumuman oleh JPPM bahawa keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan mereka adalah tidak sah walaupun penangguhan itu telah lama diputuskan serta dimaklumkan.

“Kebetulan pengumuman dari JPPM ini dibuat beberapa hari selepas pengumuman Umno menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.

Zaidel berkata, keputusan yang dibuat JPPM itu nampak agak meragukan dan banyak keputusan yang dibuat sejak kebelakangan ini yang dibuat tanpa alasan munasabah dan dilihat seolah-olah ada campur tangan politik

Katanya, MUDA sendiri sedang menghadapi pelbagai halangan birokrasi yang tidak munasabah dalam mendapatkan pendaftaran parti.

“Sebarang keputusan haruslah diterangkan dengan jelas, dibuat secara objektif dan adil.

“Bapak menteri pergi dan datang, namun amanah tetap wajib ditatang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPPM, Jasri Kasim dilaporkan berkata, keputusan MKT Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah kerana dibuat selepas tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, Jasri meminta Umno membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan, dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada jabatan itu dalam tempoh terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.